PASIR MAS: Seorang pekerja kilang papan mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan merogol dan mencabul kanak-kanak berusia enam tahun di sebuah bilik di tempat kerjanya di Kawasan Perindustrian Gua Musang, Gua Musang dekat sini, pada 12 Julai lalu.

Tertuduh, Lui Tien Peng, 54, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Badrul Munir Mohd Hamdy sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan.

Bagaimanapun, mahkamah tidak merekodkan pengakuan dari tertuduh, sebaliknya menetapkan 23 Julai depan untuk sebutan semula kes tersebut di Mahkamah Sesyen Gua Musang.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol seorang kanak-kanak berusia lima tahun 10 bulan semasa kejadian.

Tien Peng didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Kedua-dua perbuatan terkutuk itu dilakukan di sebuah bilik pekerja sebuah kilang papan di Gua Musang dekat sini kira-kira jam 12 tengah hari pada 12 Julai lalu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Fariz Abdul Hamid manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Ahmad Fariz tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan kes tersebut merupakan satu jenayah yang serius.

Mahkamah kemudian menetapkan 23 Julai depan untuk sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen Gua Musang. - Sinar Harian