Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Senator Fuziah Salleh berkata Jualan Rahmah itu meliputi 16 barangan antaranya ayam, daging dan telur, dengan tawaran diskaun antara 10 hingga 30 peratus.
"Menerusi Jualan Rumah dengan kerjasama rakan strategik, kita menawarkan sekurang-sekurangnya 16 barangan yang dipilih berdasarkan keperluan semasa perayaan.
"KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) turut memberikan subsidi kepada peniaga dan peniaga akan menawarkan dengan harga Jualan Rumah kepada pembeli berdasarkan persetujuan kita," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Perdana Gerakan Pengguna Siswa Peringkat Kebangsaan 2023 di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Jualan Rahmah sempena Aidiladha.
Sementara itu, Fuziah berkata KPDN pada masa sama akan memperluas ProgramMYSaveFood atau kempen menyelamatkan pembaziran makanan ke pasar malam, seperti yang telah dilaksanakan di Bazar Ramadan sebelum ini.
Beliau berkata golongan sasaran bagi pelaksanaan program itu adalah melibatkan pelajar institut pengajian tinggi (IPT).
"Kita mahu program ini berjaya dan berterusan, jadi selepas ini kita akan bekerjasama dengan IPT yang menyatakan kesediaan untuk melaksanakan program ini dalam masa terdekat, kemungkinan selepas Hari Raya Aidiladha," katanya.
Fuziah berkata pelaksanaan MYSaveFood di Bazar Ramadan sebelum ini telah berjaya menyelamatkan sebanyak 25 tan lebihan makanan di bazar Ramadan yang boleh diberikan kepada kira-kira 50,000 orang.
-- BERNAMA