Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hari ini menegaskan bahawa kemudahan bekalan ubat dan alatan perubatan untuk pesara perkhidmatan awam persekutuan dan veteran berpencen tidak diberhentikan seperti yang ditularkan.

JPA dalam satu kenyataan hari ini berkata kemudahan bekalan ubat dan alat perubatan boleh diperoleh melalui preskripsi pegawai perubatan kerajaan di fasiliti-fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan hospital universiti.

Sekiranya terdapat permasalahan mengenai kemudahan bekalan ubat dan alat perubatan, pesara kerajaan dan veteran berpencen boleh menghubungi pihak JPA di talian hotline 03-88854099/4037/4014 (waktu pejabat) atau emel pada mypesara@kwap.gov.my bagi mendapatkan penjelasan lanjut, katanya.

Mengenai perkhidmatan pembekalan ubat dan alat perubatan kepada pesara kerajaan dan veteran berpencen melalui sistem Electronic Medical Automation Supply System (e-MASS), JPA menjelaskan bahawa kontrak perkhidmatan yang disediakan syarikat Oratis Rx Sdn Bhd sejak 26 Januari 2012 telah tamat tempoh pada 27 Januari tahun ini.

Menurut JPA, perkhidmatan itu telah dilanjutkan secara interim sehingga 27 Februari 2017.

--BERNAMA