JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri melalui Majlis Agama Negeri Johor (MAINJ) menjalankan siasatan ke atas aktiviti dan pergerakan Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holdings Sdn Bhd di negeri ini.


Ringkasan AI
  • Majlis Agama Negeri Johor (MAINJ) bersama PDRM sedang menjalankan siasatan ke atas aktiviti dan pergerakan GISB di Johor untuk memelihara kemuliaan agama Islam dan keselamatan rakyat.
  • Kerajaan negeri Johor menggesa ahli GISB dan orang ramai untuk tampil memberikan maklumat yang relevan bagi membantu siasatan.
  • Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis memutuskan bahawa ajaran GISBH mengandungi unsur ajaran sesat, meneruskan kesinambungan daripada ajaran al-Arqam yang telah difatwakan sesat.


Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Mohd Fared Mohd Khalid berkata kerajaan negeri memandang berat terhadap pelbagai dakwaan mengaitkan GISB ketika ini.

"Bagi memelihara kemuliaan dan kesucian agama Islam serta menjaga keselamatan dan kebajikan rakyat, MAINJ selaku pihak berkuasa agama negeri bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memulakan dan akan terus mengambil tindakan termasuk meneruskan siasatan ke atas aktiviti dan pergerakan GISB di Johor.

"Kerajaan negeri Johor menyeru agar semua pihak termasuk ahli-ahli GISB dan orang ramai di luar sana agar tampil membuat aduan serta memberikan keterangan sekiranya mempunyai maklumat yang relevan bagi tujuan siasatan lanjut," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.


Mohd Fared berkata MAINJ tegas akan menggunakan perundangan dan enakmen sedia ada bagi mengekalkan keamanan beragama serta memastikan pematuhan undang-undang terus dikuatkuasakan.

Semalam, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis memutuskan kepercayaan dan ajaran dalam GISBH mengandungi unsur ajaran sesat, khususnya batiniah.

Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dilapor berkata ia juga kesinambungan daripada ajaran al-Arqam yang telah difatwakan sesat.

-- BERNAMA