Pengarah JKN Pahang Datuk Dr Rusdi Abd Rahman berkata serbuan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) itu, hasil aduan awam dan risikan JKN dengan klinik haram itu didapati dikendalikan seorang wanita berusia lingkungan umur 20-an.
"Premis berkenaan beroperasi di sebuah rumah kampung di daerah ini sejak 2020 dan menawarkan rawatan pergigian pemasangan pendakap gigi. Dalam serbuan itu, peralatan yang digunakan untuk rawatan berkenaan telah dirampas yang nilainya sekitar RM500," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kertas siasatan telah dibuka di bawah Akta Pergigian 2018 (Akta 804) iaitu kesalahan memberikan rawatan oleh individu yang tidak berdaftar di bawah akta berkenaan, di samping siasatan turut dijalankan di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).
"Premis ini menyediakan rawatan pergigian yang boleh disifatkan sebagai sebuah Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (KPJKS) yang dikawal selia di bawah Akta 586, dengan klinik pergigian swasta perlu didaftarkan di bawah Seksyen 27 akta sama," katanya.
Dr Rusdi berkata pihak terlibat berdepan hukuman denda tidak melebihi RM300,000 atau penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya untuk setiap kesalahan jika didapati bersalah.
"JKN Pahang memandang serius isu pengoperasian klinik haram dan amalan pergigian oleh individu tidak bertauliah yang boleh memudaratkan masyarakat. Orang ramai dinasihatkan sentiasa berhati-hati dan tidak mudah terpengaruh dengan pelbagai iklan atau testimoni di laman sesawang," katanya.
-- BERNAMA