Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan memberikan khidmat sokongan kepada mangsa buli dan keluarga mereka, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Beliau berkata khidmat itu bergantung kepada keperluan mangsa dan keluarga seperti perkhidmatan khidmat nasihat dan kaunseling, bantuan kewangan sekiranya keluarga tidak berkemampuan untuk menjaga anak masing-masing dan sebagainya.

"Kementerian memandang serius kejadian buli di kalangan kanak-kanak yang mendapat liputan meluas di media sosial kebelakangan ini," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Orang ramai baru-baru ini dikejutkan dengan dua video aksi buli yang membabitkan pelajar sekolah tersebar di laman sosial.

Rohani berkata selain itu, JKM akan menggunakan platform sedia ada di peringkat akar umbi seperti Jawatankuasa Kebajikan Kanak-Kanak Daerah dan Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak Daerah bagi menjalankan program-program pencegahan bersama agensi-agensi berkaitan.

Langkah itu, katanya, bagi memungkinkan program pencegahan dapat dilaksanakan seperti kempen keselamatan kanak-kanak di peringkat daerah/setempat, ceramah keibubapaan kepada ibu bapa di kawasan berisiko tinggi, program kaunseling dan rujukan sosial setempat.

"Selain peranan ibu bapa, kementerian juga menyeru masyarakat supaya sama-sama berganding bahu untuk menangani masalah buli di kalangan kanak-kanak," katanya.

Justeru beliau berkata orang ramai boleh membuat aduan sekiranya mengetahui berlakunya kejadian buli menerusi talian Nur 15999 yang beroperasi 24 jam, tujuh hari seminggu.