KUALA LUMPUR : Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memandang serius kes buli yang berlaku di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) sehingga mengakibatkan seorang penuntut mengalami keretakan tulang rusuk dan tulang belakang.

Menerusi laman Facebook baginda, Sultan Ibrahim bertitah secara tegas bahawa budaya buli tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana perlakuan tersebut menjejaskan kesejahteraan pelajar serta mencemar reputasi institusi pengajian tinggi di negara ini.

Titah baginda, kes buli melibatkan ALK UPNM bukan pertama kali dilaporkan berlaku, malah sebelum ini sudah terjadi beberapa kali sehingga meragut nyawa.

Tambah Yang di-Pertuan Agong, di dalam pasukan tentera, latihan keras adalah perkara biasa bertujuan membina kekentalan mental dan jiwa yang kuat, seperti pernah dilalui oleh baginda sewaktu menjalani latihan ketenteraan.

“Namun ini bukan bermakna ke tahap buli atau menyeksa seseorang itu sehingga mendatangkan kecederaan fizikal atau meragut nyawa. Ini tindakan tidak berperikemanusiaan.

“Saya mahu Kementerian Pertahanan mengambil serius perkara ini kerana kes buli sudah beberapa kali berlaku di ALK UPNM,” titah baginda hari ini.


Terdahulu, baginda berkenan menerima mengadap Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, di Istana Negara.

Pada Isnin, polis memaklumkan sudah merakam percakapan sembilan individu berhubung kes buli seorang penuntut tahun satu UPNM yang cedera parah dengan keretakan tulang rusuk dan tulang belakang akibat dipijak penuntut senior, bulan lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.45 malam, 21 Oktober itu, mangsa yang berusia 19 tahun itu dikatakan berada di tepi padang kawad institusi pengajian itu sebelum dia dipanggil dan dipijak oleh penuntut tahun tiga.

Akibatnya mangsa mengalami kecederaan dengan keretakan tulang rusuk dan tulang belakang.