Meriah dengan ribuan Jalur Gemilang pelbagai saiz yang dipasang bermula dari pintu gerbang tanah rancangan berkenaan sampailah ke setiap 300 rumah yang terdiri daripada 14 blok penempatan, hakikatnya ia tidak sekadar menyemarakkan lagi semangat patriotisme sebaik melangkah ke sini.
Suasana itu ialah terjemahan kerjasama utuh 2,000 penduduk baik warga emas peneroka mahupun generasi kedua yang bergotong-royong menghias penempatan mereka dengan tidak hanya mengibarkan Jalur Gemilang semata-mata, tetapi mereka turut tampil dengan kelainan tersendiri mengikut kreativiti dan inovasi masing-masing.
"Ibarat meraikan 'kenduri besar hari penuh istimewa'," kata Tok Empat Felda Jengka 24, Razak Daud, 64, bagi menggambarkan amalan tradisi yang dilakukan sejak 2018 untuk menyemarakkan lagi HKHM dengan persiapan bermula pada awal Ogos.
Beliau berkata, setiap tahun, penduduk akan memastikan dekorasi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia disuntik elemen kelainan dan pembaharuan konsep serta peningkatan jumlah Jalur Gemilang yang digunakan.
"Pada 2018, kami gunakan 3,000 bendera, kemudian naik kepada 6,000 dan ketika COVID-19, kami hentikan seketika dan disambung semula dengan dekorasi 9,000 bendera. Tahun lepas kami guna 10,000 dan tahun ini kita tambah kepada 15,000 Jalur Gemilang," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Razak berkata, kelainan tahun ini ialah mereka mencantumkan dan menjahit bendera untuk dipasang sejauh 300 meter bermula dari pintu gerbang masuk Felda itu ke penempatan blok 14.
"Bendera bersaiz 61 sentimeter (cm) lebar dan 122 cm panjang dijahit sendiri oleh kaum wanita di tanah rancangan ini. Aktiviti menjahit bermula selepas waktu asar dan dibahagikan tugas mengikut 14 blok, kemudian setiap blok akan menghias rumah mereka dengan 1,000 bendera dan Jalur Gemilang yang dijahit sepanjang 300 meter itu.
"Sebenarnya perancangan awal adalah untuk memasang bendera di sepanjang kiri dan kanan jalan bermula dari pintu gerbang masuk Felda, tetapi disebabkan ia menyukarkan kenderaan keluar masuk, kami pasang hanya di sebelah kanan. Tujuan pembaharuan ini bagi menyemarakkan lagi semangat menyambut merdeka kali ke-67," kata bapa kepada 10 anak itu yang juga Ketua Peneroka Felda Jengka 24.
Selain dekorasi Jalur Gemilang, katanya, penduduk turut menghasilkan replika bertemakan kemerdekaan dan bendera Malaysia menggunakan bahan terbuang untuk menghiasi setiap pintu masuk blok penempatan berkenaan.
Razak berkata, barangan yang digunakan untuk menghasilkan replika seperti jet, kapal terbang, wau dan rumah peneroka asal Felda itu ialah inisiatif penduduk sendiri, malah mereka turut mewujudkan tabung khusus dan tidak sekadar mengharapkan bendera atau barangan percuma.
"Ada yang tidak kisah memandu jauh ke Kuantan, malah hingga Kuala Lumpur untuk mendapatkan Jalur Gemilang kerana lokasi berdekatan banyak kehabisan stok bendera, dan penduduk juga tidak kisah keluar duit sendiri kerana mereka teruja untuk mencantikkan kawasan Jengka 24," katanya.
Disebabkan komitmen jitu diberikan penduduk Felda setiap tahun, maka tidak hairanlah apabila penempatan ini pernah muncul juara tiga kali berturu-turut bagi kategori Kampung Patriotik bersempena dengan sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia Peringkat Felda Wilayah Jengka.
Bagi generasi kedua Felda berkenaan, Nurul Nadia Ahmad, 34, biarpun ada pertandingan antara blok tercantik dan kreatif menghasilkan dekorasi bagi sambutan HKHM, ia tidak menghalang mereka untuk saling membantu.
"Memang ada pertandingan setiap blok dan hadiah pun tidak banyak, dalam RM1,000 untuk tempat pertama. Tetapi, hadiah bukanlah ukuran kerana yang penting ialah semangat kemerdekaan dan patriotik begitu menebal dalam jiwa penduduk di sini.
"Kami tidak kisah berkorban wang ringgit untuk bersama-sama membeli ribuan Jalur Gemilang mahupun barangan terpakai seperti tayar dan mengerah tenaga untuk memeriahkan sambutan merdeka dan Hari Malaysia kerana yang penting, ia adalah Jiwa Merdeka Felda Jengka 24," kata kerani itu. - BERNAMA