Tun Daim Zainuddin mendedahkan jutawan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low pernah cuba untuk menghubunginya beberapa kali bagi membantu menyelesaikan isu berkaitan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) itu berkata Jho Low pernah menelefonnya termasuk sebelum beliau ke China pada Julai lepas.

"Bila Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad nak hantar saya ke China, Jho Low ada berhubung, dia nak bercakap dengan saya tetapi saya tak mahu, dia ada telefon tetapi saya suruh beliau bercakap dengan wakil saya.

'Dia (Jho Low) kata dia boleh tolong (dalam hal berkaitan 1MDB), (tetapi) sebelum ini saya dah kata dalam sidang media pertama bersama Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), jika dia tak salah baliklah, malam itu pun dia telefon saya," katanya dalam temu bual eksklusif Soal Rakyat yang disiarkan di TV3 malam tadi.

Rancangan yang bersiaran selama sejam itu dikendalikan Tan Sri Johan Jaafar dan Mustapha Kamil Mohd Janor sebagai moderator.

Daim berkata sejak Kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih pemerintahan negara, mereka yang terlibat dalam skandal 1MDB sanggup menjadi saksi untuk menyatakan apa yang sebenarnya berlaku.

"Sekarang belum habis kita siasat ni, tiap-tiap hari kita dapat bukti baharu, yang mengejutkan. Jho Low terlibat (untuk) kait dengan Abu Dhabi, kait dengan (Arab) Saudi, Amerika , Australia, Hong Kong, Singapura, Switzerland.

"Satu dunia tahu, CNN, BBC, media China tahu, Afrika pun tahu. Tetapi sini dalam Parlimen pun tak boleh cakap, tiada ketelusan, apa guna nak tipu nanti tahu juga, nak tutup dengan harapan kalau depa (Barisan Nasional) menang (Pilihan Raya Umum ke-14) dapat tutup," katanya.

Sementara itu, menjawab soalan sama ada beliau berkonspirasi untuk menjatuhkan Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti yang didakwa sesetengah pihak, Daim berkata: "Saya dah tua, tak ada parti pun... UMNO buang saya, kita tak terlibat dengan parti orang, orang tak tahu bahawa saya dengan Anwar dah berkawan lama."

Daim melahirkan keyakinan bahawa Anwar akan mengambil alih tampuk pemerintahan seperti yang dirancang.

"Beliau (Anwar) ada kekuatan tersendiri... golongan yang tidak berpuas hati ini hanya mencari modal seperti mencipta cerita konon wujudnya konspirasi dan mencari pengaruh menggunakan isu tersebut (kononnya ada usaha untuk menjatuhkan Anwar)," katanya.

-- BERNAMA