Ahli perniagaan dalam buruan, Low Teik Jho atau Jho Low, mendakwa ditawarkan suaka atas dasar penganiayaan di sebuah negara di Eropah.

Dalam satu temu bual bersama Straits Times (ST) Singapura, Jho Low mendedahkan negara tersebut mematuhi Konvensyen Eropah mengenai Hak Asasi Manusia (ECHR).

"Saya boleh sahkan yang saya ditawarkan suaka pada Ogos 2019 oleh sebuah negara yang bertindak atas prinsip Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (UHCR) Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat, Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan ECHR, berdasarkan penganiayaan politik yang dikenakan terhadap saya dan penafian terus-menerus terhadap hak asasi manusia saya," katanya dalam temu bual itu.

Low bagaimanapun tidak menamakan negara berkenaan.

Dalam pada itu, Low juga mendakwa tuduhan yang mengaitkannya dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai bermotifkan 'politik'.

"Realitinya saya sasaran yang mudah memandangkan saya bukan dalam kalangan ahli politik.

"Dalam kes 1MDB dan SRC, terdapat juga bank, peguam dan anggota profesional bebas lain yang menasihati dan menyokong syarikat-syarikat terbabit dalam proses tertentu.

"Melihat pada situasi itu, perhatian luar biasa media kepada saya dibandingkan perhatian yang diberikan kepada institusi kewangan dan penasihat kewangan lain adalah satu mengejutkan," katanya yang menegaskan dirinya sebagai "orang tengah yang diminta untuk membantu kerajaan Malaysia dan orang-orang di Timur Tengah kerana hubungan baiknya dengan ahli perniagaan asing yang berpengaruh".


Pada 4 Dis 2018, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mengeluarkan waran tangkap terhadap ahli perniagaan kontroversi yang menjadi buruan polis itu bersama empat individu lagi.

Jho Low, antaranya, berdepan lima dakwaan pengubahan wang haram berjumlah AS$1.03 bilion.