LIPIS: Dua lelaki yang disyaki terlibat dengan kes pecah tabung masjid di sekitar daerah ini berjaya ditahan secara berasingan oleh pasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis (IPD) Lipis.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, pihaknya menerima lima laporan kes pecah tabung antara 24 Disember sehingga 29 Disember lalu yang mencecah kerugian keseluruhan RM1,800, serta bertindak melaksanakan Ops Pintu.

"Hasil serbuan pertama, suspek yang berusia 28 tahun berjaya ditangkap pada 28 Disember kira-kira pukul 9.30 malam di sebuah rumah di Taman Temerloh Jaya Indah, Temerloh.

"Manakala, suspek berusia 40 tahun telah ditangkap dalam serbuan kedua pada 29 Disember 2022 pada pukul 8 pagi di sebuah surau di Kampung Chegar Perah, Kuala Lipis.

"Polis turut merampas dua buah motosikal jenama Yamaha Y15ZR berwarna merah dan biru; dua buah topi keledar jenama MS88; pam racun, sehelai baju warna biru, sehelai seluar jeans panjang warna biru, dua beg sandang berwarna hitam, sepasang kasut berwarna hitam dan wang tunai berjumlah RM74," katanya dalam satu kenyataan hari ini.



Azli memberitahu, suspek pertama bergerak aktif bermula Disember 2022 dan menyasarkan masjid-masjid tepi jalan utama dengan berpura-pura sebagai musafir serta melakukan jenayahnya pada waktu siang hari sekitar pukul 2 hingga 4 petang.

Sementara suspek kedua pula bergerak aktif bermula hujung Ogos 2022 menyasarkan masjid-masjid, sekolah serta rumah di tepi jalan utama dan melakukan perbuatan jenayahnya sekitar pukul 2 hingga 5 pagi.

Azli berkata, hasil ujian saringan air kencing ke atas kedua-dua suspek mendapati positif dadah jenis MOP dan methamphetamine dan ditahan reman di Lokap Balai Polis Kuala Lipis sehingga 3 Januari 2023 untuk siasatan lanjut.

Berdasarkan siasatan, suspek pertama mempunyai empat kes rekod jenayah lampau berkaitan ugutan jenayah, dadah dan menipu melibatkan Seksyen 506/323 Kanun Keseksaan, Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 39(a)(1) Akta Dadah Berbahaya dan Seskyen 3 Akta Penagih Dadah.

Manakala suspek kedua pula mempunyai tiga rekod lampau berkaiatan kes curi dan kes dadah melibatkan Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya.

"Berikutan tangkapan dua lelaki ini, IPD Lipis berjaya menyelesaikan tujuh kes melibatkan kes pecah tabung masjid, satu kes pecah sekolah, satu kes pecah tabika dan satu kes pecah rumah membabitkan anggaran kerugian sebanyak RM5,000.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri dalam bangunan yang boleh membawa hukuman penjara boleh sampai 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda serta Seksyen 457 Kanun Keseksaan atas kesalahan pecah rumah atau sekolah yang boleh membawa hukuman penjara boleh sampai 14 tahun penjara dan denda," ujarnya.