KUCHING: Jenama “Sarawak - Kuasa Tenaga Boleh Diperbaharui Asia” diyakini meletakkan Sarawak di persada serantau dan global sebagai hab sumber tenaga boleh diperbaharui. 

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam perutusan Aidilfitrinya berkata, Sarawak turut berpotensi menjadi hab inisiatif peralihan kepada penggunaan tenaga tanpa karbon ketika dunia bergerak ke arah “net-zero” menjelang 2050 seperti yang dipersetujui oleh dunia melalui Perjanjian Paris pada 2015.

Usaha ini jelasnya, tercetus kerana negeri itu memiliki kekuatan dari segi sumber tenaga yang boleh diperbaharui, dan jenama ini  akan mengangkat Sarawak di pentas global ke arah kelestarian dari pelbagai sudut selaras dengan 17 matlamatSustainable Development Goals (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)

Ujarnya lagi,  Sarawak adalah bumi bertuah yang telah dirahmati Allah SWT dengan pelbagai sumber kekayaan, khususnya tenaga yang boleh  diperbaharui yang dijanakan oleh kuasa air di sungai-sungai yang  besar lagi panjang.

“Ini dapat dilihat pada Batang Rajang, Batang Ai, Sungai Murum dan Batang Baleh, dengan Sarawak mempunyai sumber tenaga  yang boleh diperbaharui dan lestari yang besar untuk dikongsikan  dengan negara-negara di rantau Asia, malah di luar Asia. “

Tambahnya lagi, Sarawak mempunyai potensi untuk menjana 20 GW tenaga  hidro,  dengan kapasiti penjanaan sebanyak 5.4 GW sekali gus  membolehkan negeri itu menyediakan tenaga rendah karbon dengan tarif yang kompetitif kepada para pelabur.

“Matlamat  Sarawak seterusnya adalah untuk mengeksport tenaga ke Brunei dan  Sabah dan penyaluran 1 GW ke Singapura menjelang 2032 melalui  kabel dasar laut sepanjang 700 kilometer selain penyaluran 190 MW sedia  ada ke Kalimantan Barat.

Pada masa ini katanya, Sarawak Energy Berhad (SEB) sedang melaksanakan dasar bekalan tenaga hingga 10 GW atau 10,000 MW menjelang 2030 melalui penjanaan hidro dan turbin gas.

Tambahnya lagi, Sarawak akan terus membangunkan potensi sumber tenaga  hidronya dengan kaedah yang membawa kesan minimal kepada  alam sekitar dan kehidupan manusia.

“Saya telah memberi arahan kepada agensi berkaitan untuk mengkaji penjanaan kuasa dengan  konsep sumber tenaga daripada empangan melata yang telah digunakan di negara-negara seperti Norway dan Kanada.

“Dengan  persetujuan penduduk setempat projek tersebut akan bermula di  Sungai Gat, Baleh, Kapit.

Abang Johari menambah, sumber-sumber tenaga rendah karbon lain yang turut  dibangunkan atau diteroka untuk memenuhi keperluan serantau termasuk pengeluaran hidrogen hijau dan bahan bakar  penerbangan yang dihasilkan daripada alga atau sustainable aviation fuel (SAF), solar terapung dan biojisim (biomass) dalam  bentuk pellets daripada sumber hutan.


“Sarawak mempunyai sumber dan keupayaan untuk membantu menyelesaikan masalah negara-negara di rantau ini yang tidak mempunyai sumber tenaga hijau atau tidak mempunyai keupayaan untuk menyimpan karbon atau keupayaan untuk menyerap karbon dioksida.

“Oleh itu, jolokan “Sarawak bateri  Asean” atau “Sarawak hub tenaga hijau” bukanlah omongan kosong atau impian semata-mata. Sarawak bersedia memberi  khidmat dan menyediakan sumber untuk membantu rantau ini,” katanya lagi.