KUCHING: Draf pindaan Ordinan Perikanan Sarawak 2003 sedang dirangka sebagai usaha menubuhkan Jabatan Perikanan Negeri, kata Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Kemajuan Wilayah Sarawak Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom.

Beliau berkata kementeriannya akan mengadakan libat urus bersama agensi berkaitan bagi menyelaras draf terbabit dengan undang-undang lain yang sedia ada.

"Pada masa yang sama, kementerian saya sedang menyediakan kertas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bagi kelulusan penubuhan Jabatan Perikanan Sarawak," katanya ketika menggulung perbahasan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini pada Selasa.

Menurut Rundi penubuhan jabatan perikanan peringkat negeri dicadangkan memandangkan berlaku pertindihan peranan dan fungsi antara agensi berbeza yang mempunyai kepentingan yang sama kerana kuasa dan bidang kuasa sumber.

"Ini mewujudkan kawasan 'kelabu' dalam perundangan dan ini perlu dijelaskan bagi mengelak kekeliruan dan kelewatan dalam menguatkuasakan peraturan dan undang-undang," katanya.

-- BERNAMA