Usul Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau dikenali Akta 355 tidak perlu dipolitikkan kerana ia usaha memperkukuhkan kedudukan Makamah Syariah dalam negara ini.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, apabila dibentang pindaan, ia memberikan mesej bahawa kerajaan secara langsung ikhlas dalam usaha memperkukuhkan kedudukan perundangan agama Islam sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan negara.

"Bagaimanapun, laluannya masih jauh kerana selain bacaan dan pembentang serta perbahasannya mungkin akan dibuat Mac 2017, usaha untuk memberikan penjelasan kepada rakyat terutamanya kepada pimpinan dan masyarakat bukan Islam mestilah dibuat secara terancang dan bersungguh sungguh.

"Kerana kebimbangan kita ialah apabila ada pihak akan memburukkan keadaan dengan memberikan gambar tidak betul terutama kerana kepentingan politik.

"Justeru itu apabila langkah awal kerajaan memberikan taklimat yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengenai isu ini merupakan suatu langkah terpuji dan mesti diteruskan lagi dengan memberikan pemahaman kepada kumpulan kumpulan berkepentingan yang lain," katanya kepada Astro AWANI, di sini hari ini.

TONTON: RUU 355: Tangguh bahas untuk beri ruang pemahaman

TONTON: Faham dahulu RUU 355 sebelum tentang - Ahmad Zahid

Pada Khamis, Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membentangkan usul RUU 355 yang dipinda bagi memperkasakan bidang kuasa Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 pada persidangan Dewan Rakyat.

Namun begitu, penerangan lanjut mengenai usul tersebut ditangguhkan ke sesi akan datang.

BACA: MCA tidak menentang RUU 355, tetapi menyatakan ia harus dibuat semangat perlembagaan

BACA: Sokong RUU 355 atau ditolak pada PRU14 - Sekretariat Ummat


Dalam pada itu, Shamsul secara peribadinya menyatakan sokongan kepada RUU 355 kerana ia adalah demi kepentingan agama Islam dan rakyat secara keseluruhannya.

"Jika kita mampu membendung perlakuan jenayah melalui mengukuhkan undang undang sedia ada ia tentu sesuatu yang baik dan perlu dilakukan.

"Namun paling mustahak janganlah kita mempolitikkan isu ini sehingga menimbulkan suasana yang tidak baik terutama menggambarkan sesuatu yang buruk kepada sistem undang undang agama Islam itu sendiri," jelasnya.