Pihak kerajaan atau pembangkang perlu sentiasa menjaga kemuliaan Perlembagaan apabila membahas Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah pada sidang Dewan Rakyat 24 Julai nanti.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Segamat, Bastien Onn berkata, ia harus difahami oleh semua Ahli Parlimen sekali gus mengelakkan apa juga perbahasan yang boleh mendatangkan salah faham mana-mana kaum di negara ini.

"Peranan Parlimen jelas terlahir melalui Perlembagaan Malaysia. Ianya diimbangi oleh kuasa Judiciary dan Administration. Segala apa jua yang ingin dilaksanakan harus tidak melanggar dan merobek semangat yang terkandung di dalam Perlembagaan.

"Ahli-ahli Parlimen hendaklah menggubal undang-undang demi negara, rakyat dan bukannya untuk kepentingan parti politik yang mereka naungi. Rakyat memilih dan meletakkan ahli-ahli yang berhormat di situ untuk mewakili mereka dan peranan itu harus dilaksanakan sebaiknya.

"Harus diingati adalah menjadi sebahagian daripada tanggungjawab Ahli Parlimen untuk mempertahankan Perlembagaan Malaysia," katanya kepada Astro AWANI di sini pada Sabtu.

BACA: PAS lahirkan penghargaan kepada Speaker Dewan Rakyat

BACA:
[LAPOR LANGSUNG] Pembentangan pindaan RUU 355

Bastien mengulas pembentangan pindaan RUU355 oleh Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Khamis lalu.

Meskipun cuba dihalang oleh beberapa Ahli Parlimen pembangkang, namun RUU berkenaan berjaya dibentangkan dan disokong, sebelum sidang ditangguhkan oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Dalam pada itu jelas Bastien, tindakan Ahli Parlimen DAP yang pantas dan berterusan menunjukkan penentangan terhadap hudud melebihi MCA, MIC dan mana-mana Ahli Parlimen pelbagai parti bagi menunjukkan mereka benar-benar mewakili kaum-kaum lain yang bukan Islam.

Tambahnya, apa yang berlaku adalah kegagalan semua pihak meletakkan RUU355 untuk dibahaskan dalam konteks keperluan rakyat.

Katanya, PAS juga telah gagal kerana cepat melabelkannya sebagai cara untuk melaksanakan hudud selain menyifatkannya akan menggoyangkan akidah, kafir dan sebagainya jika ada ahli Parlimen Islam yang menolaknya.

'Adakah undang-undang syariah yang wujud berpuluh tahun (52 tahun) di negara ini merupakan hudud?

"Saya mahu bertanya kepada Ahli Parlimen PAS? Kalau RUU355 adalah untuk memperkasa dan menyemak kembali undang-undang syariah, mengapa pula ia dipanggil hukum hudud?

"Rakyat sedang keliru. Dan sudah tentu ianya akan membangkitkan persoalan ramai. Sudahnya nanti kesemua Ahli Parlimen dari kedua belah pihak gagal memainkan peranan Parlimen itu sendiri iaitu menggubal undang-undang seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan," ujarnya.

Tegasnya, masih ramai yang gagal melihat RUU355 sebagai usaha untuk mengemaskinikan undang-undang syariah bagi kegunaan umat Islam di negara ini.

"Sebagaimana undang-undang sivil, semakan juga harus dibuat kepada undang-undang syariah sekiranya undang-undang itu menepati keperluan umat Islam semenjak ianya digubal.

"Semakan perlu dibuat bagi memenuhi kesesuaian masa, keadaan dan peranan undang-undang itu sendiri.

"Parlimen hanya memainkan peranan sebenarnya sebagaimana yang termaktub di dalam Perlembagaan iaitu menggubal undang-undang," katanya.

Sebelum ini, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan berkata, kerajaan berharap pembentangan RUU35 diteliti dan difahami terlebih dahulu oleh semua Ahli Parlimen sebelum membahaskannya pada sesi persidangan akan datang.

Beliau juga tidak mahu ada dalam kalangan Ahli Parlimen yang sengaja mencari kesalahan dalam RUU terbabit, meskipun penerangan jelas diberikan oleh Abdul Hadi.