KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan yang mengelirukan ahli yang lain dan orang awam dengan dakwaan BlackRock Inc memiliki 100 peratus saham dalam Global Infrastructure Partners (GIP).


Ringkasan AI
  • Lee Chuan How (PH-Ipoh Timor) menegaskan bahawa ahli Parlimen tidak boleh mengeluarkan kenyataan mengelirukan mengenai dakwaan bahawa BlackRock Inc memiliki 100 peratus saham dalam Global Infrastructure Partners (GIP).
  • Lee meminta pembangkang menarik balik kenyataan yang mendakwa BlackRock mempunyai 100 peratus saham dalam GIP, menekankan bahawa penjualan itu belum dimuktamadkan.
  • GIP menjelaskan bahawa BlackRock Inc tidak terlibat dalam transaksi penstrukturan semula kepentingan dalam Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan penjualan GIP kepada BlackRock dijangka dimuktamadkan pada suku ketiga 2024.


Lee Chuan How (PH-Ipoh Timor) berkata pihak pembangkang tidak sepatutnya menggunakan kuasa mereka di dalam Dewan Rakyat untuk menipu rakyat.

"(Menurut) Peraturan Mesyuarat 36 (12), ahli tidak boleh mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan Dewan.

"Mohon dia tarik balik (kenyataan itu) sebab diketahui umum, faktanya, penjualan itu belum berlaku (dimuktamadkan).

"Jangan menggunakan Dewan ini untuk menipu serta mengelirukan Dewan dan orang di luar sana. Inilah taktik mereka (pembangkang)," katanya pada sesi perbahasan Laporan Ketua Audit Negara di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) mengeluarkan kenyataan yang mendakwa BlackRock mempunyai 100 peratus saham dalam GIP.

Dalam jawapan bertulis kepada Bernama baru-baru ini, GIP menegaskan BlackRock Inc tidak pernah sama sekali terlibat dalam sebarang transaksi berhubung penstrukturan semula kepentingan dalam Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) melalui Gateway Development Alliance (GDA).

Ketua Bahagian Pengangkutan di GIP dan Pengarah GDA Phil Iley berkata seperti yang diumumkan pada Januari lepas, GIP akan diambil alih oleh BlackRock dengan transaksi tersebut dijangka akan dimuktamadkan pada suku ketiga 2024.

Beliau berkata BlackRock mengiktiraf kepakaran GIP dalam pelaburan berkaitan infrastruktur.

"Selepas transaksi ini dimuktamadkan, pihak pengurusan sedia ada GIP akan mengekalkan kawalan penuh dan tanggungjawab bagi hala tuju strategik dan operasi GIP serta syarikat-syarikat di bawah pelaburan kami," katanya.

-- BERNAMA