KUALA LUMPUR: Mereka yang memegang kuasa tidak seharusnya merasakan boleh menggunakan kedudukan untuk memberi manfaat atau kelebihan kepada ahli keluarga.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menantunya yang dikaitkan dengan pemberian kontrak kerajaan, wajar dilihat sebagai satu pengajaran.

"Jahat tak jahat, kena tunggu laporanlah. Saya tak fikir akan heboh macam ini kalau tak benar, mesti ada juga kebenaran.

"Sejauh mana beliau terlibat, saya tidak tahu. Siasatan kena dilakukan, tujuan kita nak hentikan, siapa saja yang jadi perdana menteri atau menteri kewangan, jangan anggap itu tempat untuk kayakan anak menantu," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah dan Karnival Kerjaya MYFutureJobs 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

Terdahulu, terdapat laporan mendakwa Muhyiddin terlibat dalam pemberian kontrak Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) kepada Iris Corporation Berhad, yang dikaitkan dengan menantunya.

Syarikat yang dimaksudkan ialah unit IRIS Corp Bhd, Iris Information Technology Systems Sdn Bhd (IITS) yang memperoleh kontrak RM1.12 bilion untuk projek NIISe daripada Kementerian Dalam Negeri pada Mei 2022.

Muhyiddin bagaimanapun menafikannya dan menyifatkannya tuduhan berniat jahat.

BACA: Muhyiddin nafi dakwaan pemberian kontrak NIISe kepada menantu