Menurut penulis Buku Kewangan, Azraei Muhamad, apabila masyarakat menjadikan hutang sebagai jalan keluar mudah daripada kemelut, tindakan itu akan menjadi tabiat sehingga menyebabkan hubungan sesama individu terjejas.
"Memilih jalan keluar ini sekali atau dua kali mungkin masih 'okey.'
"Tapi, jika setiap kali berdepan masalah, kita pinjam wang daripada rakan, berjanji setiap bulan dengan janji untuk membayar tetapi akhirnya gagal melunaskannya, secara tidak sedar kita meletakkan diri dalam perangkap hutang yang berbahaya.
"Inilah maksud saya tadi, apabila kita membiasakan diri dengan berhutang, lama-kelamaan ia akan menjadi satu tabiat.
"Setiap kali ada masalah, kita terus berhutang dan akhirnya, kita mungkin terdorong untuk mengakses hutang yang lebih berisiko seperti pinjaman tidak berlesen atau pinjaman daripada institusi kewangan besar," ujarnya dalam program AWANI Pagi pada Khamis.
Kata Azraei lagi, adalah penting untuk masyarakat mengurus kewangan dengan baik bagi mengelakkan kebergantungan kepada hutang sebagai penyelesaian.
Beliui berkata, pengurusan kewangan yang baik termasuk dengan mewujudkan tabung kecemasan sebagai sebahagian daripada strategi simpanan.
Katanya, simpanan tersebut dapat digunakan apabila berhadapan dengan situasi yang memerlukan kadar pengeluaran wang yang tinggi.