Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook jamin laporan penuh usaha carian pesawat Malaysia Airlines MH370 yang diisytiharkan hilang akan dikemukakan kepada umum dalam masa terdekat.

“Sebelum ini hanya laporan interim dikemukakan dan tiada laporan terperinci diberikan kepada umum.

“Itu (kes 1MDB) tak boleh dibandingkan macam itu. Kita komited untuk membuat yang terbaik.

“Apa yang saya janjikan ialah, laporan terakhir tentang MH370 akan diumumkan dengan telus dan pendedahan penuh.

"Sebab saya dah maklumkan kepada Ketua Setiausaha bahawa sebarang laporan yang melibatkan orang ramai akan diberikan pendedahan penuh tanpa suntingan,” katanya ketika ditanya sama ada kerajaan serius untuk menyelesaikan isu MH370 sama seperti kes 1MDB pada Isnin.


Sebelum itu beliau mengadakan pertemuan bersama Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) untuk meneliti keperluan serta fungsi suruhanjaya terbabit.

Beliau turut meminta agar MAVCOM membuat kajian semula berhubung Caj Perkhidmatan Penerbangan yang dikenakan ke atas pengguna agar diberikan kadar baharu seawal tahun 2019.

Sementara itu, harga siling tambang penerbangan pada musim perayaan turut menjadi perhatian beliau memandangkan ia sedikit sebanyak membebankan rakyat khususnya mereka yang berasal dari Sabah dan Sarawak yang bekerja di Semenanjung Malaysia.

“Ini tak boleh dilaksanakan serta-merta, kita kena kaji impak kepada industri dan pasaran. Tetapi saya telah minta MAVCOM untuk buat kajian. Dan sebarang penemuan baharu kita akan umumkan kemudian,” jelasnya.

Malah beliau menegaskan MAVCOM akan bertanggungjawab sepenuhnya bagi memastikan setiap wang yang dibelanjakan telus perlu ikut akauntabiliti yang telah ditetapkan.