Perhimpunan ini yang dianjurkan dengan kerjasama lebih 30 pertubuhan pro-Palestin, berlangsung serentak di sekurang-kurangnya 78 ibu kota di seluruh dunia.
Tinjauan Astro AWANI menyaksikan para peserta perhimpunan yang terdiri daripada pelbagai latar belakang agama dan bangsa hadir sejak jam 11 pagi.
Kebanyakan hadir membawa plakad dengan laungan mesej yang sama, iaitu mengutuk kezaliman Israel terhadap rakyat Gaza.
Pengerusi Boikot, Pelupusan Pelaburan dan Sekatan (BDS) Malaysia, Profesor Dr Mohd Nazari Ismail memberitahu Astro AWANI, dianggarkan 3,000 peserta akan hadir pada himpunan yang berlangsung dari jam 12 tengah hari hingga 3 petang hari ini.
“Kita tahu ketika ini ada perbicaraan di Makhamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) tetapi Amerika Syarikat (AS) akan melobi.
“Jadi kita perlu terus bersuara untuk menghentikan kekejaman Israel dan pembunuhan beramai-ramai rakyat Gaza,” katanya, di sini.
Himpunan hari ini turut dijangka dihadiri beberapa wakil parti politik termasuk bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dan wakil Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datin Paduka Che Asmah Ibrahim.
Ketika ini perang ke atas Gaza hampir memasuki hari ke-100 sejak ia tercetus pada 7 Oktober tahun lalu.
[LAPOR LANGSUNG] Pertahan diri bukan jawapan bunuh rakyat Palestin - Afrika Selatan
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, angka kematian terus meningkat dengan lebih 23,000 terkorban, manakala sekurang-kurangnya 59,167 lagi cedera.