HULU LANGAT: Sebatang jalan di Sungai Lalang, berdekatan Semenyih Eco Venture Resort dan Recreation di sini dilapor runtuh dan terputus pada jam 5 petang tadi susulan banjir.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Hulu Langat dalam kenyataan memaklumkan kejadian jalan runtuh itu berlaku di kilometer 9.6, dengan kawasan terlibat sepanjang 50 meter.

Jelas kenyataan itu, insiden turut menyebabkan semua kenderaan tidak dapat melalui kawasan berkenaan.

Jabatan itu dalam makluman tersebut menambah, kenderaan dari arah Bukit Peras Hulu Langat perlu memasuki Simpang Jalan Sungai Tekali untuk menuju ke Semenyih.

Sementara, pengguna jalan raya yang menghala ke Jalan Sungai Lalang atau Bukit Peras disaran melalui Batu 9 Cheras, Jalan Hulu Langat.

 

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Datuk Johan Abd Aziz dalam kemas kini di laman Facebook mengesahkan insiden tersebut.

Beliau turut menasihatkan penduduk yang menyusuri jambatan Nirvana-Kampung Pasir, Semenyih agar mencari jalan alternatif lain sehingga kerja-kerja baik pulih selesai.