GEORGE TOWN: Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang Jagdeep Singh Deo menyambung cuti sakit hingga Jumaat ini (9 Ogos) bagi rawatan lanjut.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata Jagdeep yang sedang bercuti dari 22 Julai lepas telah memberikan maklumat terkini mengenai cuti sakitnya pada Jumaat lepas.

"Beliau memaklumkan bahawa dirinya kini berada dalam keadaan baik. Atas nasihat doktor, beliau telah memohon supaya cutinya dilanjutkan hingga 9 Ogos nanti.

"Maka saya telah bersetuju supaya cutinya dilanjutkan bagi membolehkan Jagdeep meneruskan rawatan diperlukan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 22 Julai lepas, Bernama melaporkan Jagdeep mengesahkan beliau bercuti kerana menjalani rawatan buku lali dan menafikan dakwaan kononnya beliau diarahkan bercuti daripada menjalankan tugas pentadbiran negeri.

Jagdeep, 53, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri II sejak Ogos tahun lepas.

-- BERNAMA