GEORGE TOWN: Pulau Pinang berjaya menarik pelaburan berjumlah RM31.38 bilion pada 2024 yang dijangka mewujudkan lebih 6,600 peluang pekerjaan khususnya dalam sektor pembuatan bernilai tinggi, perkhidmatan termaju dan pertanian moden.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata pencapaian ini merupakan antara beberapa kejayaan penting yang dicapai negeri itu pada tahun lepas, sekali gus mencerminkan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan sosial yang memberangsangkan.

"Selain itu, negeri ini turut mencatatkan kadar pematuhan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ketiga tertinggi di Malaysia, dengan peratusan 99.15 peratus di samping muncul sebagai hab pelancongan perubatan terkemuka di Asia Tenggara," katanya ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Anggota Perkhidmatan Awam, di sini, hari ini.

Chow berkata sehingga Dis 2024 sebanyak 306 projek telah diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) bagi Pulau Pinang dengan 246 daripadanya merupakan projek baharu di bawah Rolling Plan Ke-4 (RP4) manakala 60 adalah projek sambungan.

Keseluruhan kos projek bagi Pulau Pinang pada 2024 berjumlah RM28.4 bilion dengan peruntukan diluluskan sebanyak RM1.35 bilion dan perbelanjaan RM1.1 billion iaitu bersamaan 81.76 peratus.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 10 projek keutamaan negeri bagi Rolling Plan Ke-5 (RP5) RMKe-12 disenaraikan dalam Modul Wishlist Negeri Pulau Pinang di bawah Sistem MyProjek dengan lapan projek diterima untuk pertimbangan Kementerian Ekonomi.

"Saya berharap agar Kerajaan Persekutuan memberikan perhatian terhadap projek-projek dari Pulau Pinang kerana ia merupakan projek yang signifikan seperti projek pembinaan jalan, pembinaan struktur cegahan hakisan pantai, pembinaan klinik kesihatan serta lain-lain yang membawa kepentingannya tersendiri," katanya.

Mengenai Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, Chow berkata Pulau Pinang akan memainkan peranannya dalam memastikan kejayaan penganjuran pelbagai program serantau, selaras dengan aspirasi negara dan matlamat rantau ASEAN.

Menurutnya, negeri itu akan menjadi antara destinasi bagi beberapa mesyuarat penting pada peringkat ASEAN, termasuk lawatan budaya serta program ekonomi dan pelancongan yang berimpak tinggi.

Malaysia secara rasmi mengambil alih Kepengerusian ASEAN bermula 1 Jan 2025 dengan tema "Keterangkuman dan Kemampanan", yang mencerminkan aspirasi negara untuk membentuk ASEAN yang bersatu dan makmur.

-- BERNAMA