Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berharap isu kesesakan lalu lintas di Tambak Johor akan menjadi salah satu agenda penting dalam sesi pemukiman Malaysia dan Singapura akan datang.

Beliau berkata agenda tersebut adalah penting memandangkan ia turut menimbulkan keresahan komuniti perniagaan yang menghadapi masalah logistik sewaktu menggunakan laluan keluar masuk utama kedua-dua negara itu.

Menurut beliau, dengan kelancaran trafik di pintu masuk utama dan kedua selatan negara itu, ia mampu merancakkan lagi kegiatan dan pertumbuhan ekonomi negara dan Johor khususnya di Iskandar Malaysia.

Agenda ini telah dicadangkan pada mesyuarat dua hala akan datang antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatannya Lee Hsien Loong, katanya kepada pemberita selepas melancarkan Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS) Iskandar di sini Sabtu.

Beliau mengakui adalah penting untuk mencari jalan penyelesaian bagi isu tersebut lebih-lebih lagi setelah ia dibangkitkan beberapa kali oleh komuniti perniagaan dan juga ketika mesyuarat bersama Singapura.

Katanya kedua-dua negara ini perlu mencapai persetujuan bersama dengan apa juga keputusan atau tindakan diambil berhubung isu Tambak Johor.

Pemukiman kedua pemimpin itu yang merupakan mesyuarat tahunan dijangka diadakan di Malaysia tahun ini.

Sebelum ini, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mencadangkan supaya Tambak Johor diganti dalam usaha melancarkan lagi trafik di kawasan berkenaan.