SEPANG: Isu penghijrahan tenaga mahir atau brain drain khususnya dalam kalangan belia di negara ini perlu dilihat secara menyeluruh, kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim.

Beliau berkata antara perkara utama perlu diteliti adalah berkaitan permasalahan ekonomi yang dihadapi golongan terbabit.

"Dalam soal ini, kita tidak hanya beri tumpuan kepada pembangunan belia dari segi kepimpinan atau prestasi sukan sahaja tetapi kita perlu ambil pendekatan untuk kenal pasti perkara berbangkit dalam soal ekonomi belia.

"Tidak semestinya fokus satu isu akan selesai 100 peratus tetapi kita mesti ada kaedah untuk selesaikan masalah ini," katanya pada sidang media selepas program menghantar pasukan e-sukan Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Beliau berkata isu brain drain tidak hanya boleh bergantung kepada langkah yang diambil kerajaan sebaliknya perlu dikenal pasti punca terlebih dahulu.

"Kalau laksanakan dasar kelak, kita harap dapat selesaikan isu ini sepenuhnya," katanya.

Baru-baru ini, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilapor mencadangkan kerajaan untuk terus berusaha menambah baik sistem sedia ada dan mengurangkan kesan penghijrahan tenaga mahir tempatan ke luar negara.

Adam Adli berkata, selaras hasrat dinyatakan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, isu belia adalah perkara utama yang akan diberi perhatian oleh kementerian itu dalam usaha mencari penyelesaian bagi setiap permasalahan.

Katanya, KBS akan melaksanakan setiap inisiatif berdasarkan dapatan yang diperoleh melalui kajian Institut Penyelidikan dan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES).

-- BERNAMA