KUALA LUMPUR: Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini membuat laporan polis terhadap Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin, berikutan kenyataan beliau yang didakwa menyentuh isu 3R (kaum, agama, raja) ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Nenggiri baru-baru ini.

Ketua AMK Adam Adli Abd Halim berkata laporan polis berkenaan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh, bersama-sama AMK Pahang.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata laporan polis terhadap pemimpin pembangkang itu, turut digerakkan oleh AMK di negeri lain seluruh negara.

"Di IPD Temerloh sebentar tadi bersama teman-teman AMK Pahang yang membuat laporan polis terhadap kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin terkait penghinaan terhadap kebijaksanaan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam membuat keputusan sewaktu baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong.

"Politik memang akan sentiasa runcing, namun pemimpin politik harus bertanggungjawab dalam memelihara keluhuran perlembagaan yang menjamin kedaulatan, keharmonian dan perpaduan masyarakat negara ini," katanya di aplikasi X, hari ini.

Sebelum ini, tular di media sosial ucapan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu yang dikatakan menyentuh kewibawaan Al-Sultan Abdullah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.

-- BERNAMA