"Kita perlu ingat bahawa belia bukan sahaja pemimpin masa depan, mereka juga pemimpin hari ini," katanya dalam ucaptama pada Sidang Kemuncak Pembangunan Belia 2024 di sini hari ini.
Beliau berkata pengiktirafan Malaysia terhadap golongan itu adalah penting dalam usaha membentuk masa depan negara dan merujuk pengenalan Model Pembangunan Belia MADANI 2030 tahun lepas.
"Model ini direka bentuk bagi menangani cabaran pascapandemik dan menyelaras pemerkasaan belia dengan kedua-dua agenda pembangunan di peringkat nasional mahupun global.
"Empat teras utama model ini iaitu pendidikan berkualiti, keusahawanan, kecergasan dan kesejahteraan serta penglibatan belia adalah dirangka secara strategik bagi memupuk individu serba boleh yang bersedia mendepani cabaran masa depan," katanya.
Adam juga bercakap tentang kepentingan pendidikan berkualiti dalam menyediakan belia dengan pengetahuan, kemahiran dan kebolehan berfikir secara kritis yang penting untuk memajukan diri dalam dunia yang berubah dengan pantas.
Menyentuh mengenai tema sidang kemuncak tahun ini iaitu Set Sail for New Horizons, beliau berkata pembinaan generasi belia yang inovatif dan berdaya tahan mampu memacu pertumbuhan ekonomi dan mencipta penyelesaian mampan.
"Menerusi program dan inisiatif bersasar, kami berhasrat menggalakkan golongan muda membangunkan kemahiran keusahawanan dan mengubah idea mereka menjadi usaha niaga yang berjaya sekali gus menyumbang kepada daya tahan ekonomi negara," katanya.
Sidang kemuncak sehari itu, yang menarik penyertaan lebih 2,000 pemimpin belia dan penceramah dari seluruh dunia termasuk Indonesia, Singapura, Laos, Filipina, Arab Saudi dan China, telah dilancarkan oleh Ketua Eksekutif Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong John Lee Ka-chiu.
Tokoh terkemuka yang turut berkongsi pentas ialah Ketua Setiausaha Pentadbiran Hong Kong Eric Chan Kwok-ki, Timbalan Menteri Sumber Manusia dan Pembangunan Sosial Arab Saudi Ahmed Al-Majed, Timbalan Menteri Pendidikan dan Sukan Laos Kingmano Phommahaxa serta PresidenPersekutuan Belia Seluruh China Xu Xiao.
Antara topik yang dibincangkan ialah Inspiring Youth Creativity for a Sustainable Future dan Nurturing Positive Thinking Amongst Young People.
-- BERNAMA