KUALA LUMPUR: Badan Peguam menyarankan pendekatan holistik dengan melaksanakan pembaharuan jangka panjang terhadap sistem yang mengawasi rumah-rumah kebajikan.

Yang Dipertuanya Mohamad Ezri Abdul Wahab berkata langkah itu perlu diambil bagi mengelakkan kejadian yang dipercayai mempunyai kaitan dengan Global Ikhwan Service and Business Holding daripada berulang.

"Laporan mengenai penderaan, pengantunan (grooming) dan eksploitasi seksual yang sistemik terhadap mangsa kanak-kanak di pusat-pusat ini amat mengejutkan dan menyayat hati. Badan Peguam Malaysia menyokong sepenuhnya tindakan segera yang diambil oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa lain yang terlibat, termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Kementerian Kesihatan.

"Rumah-rumah (kebajikan) ini yang sepatutnya memberikan penjagaan dan perlindungan, malangnya telah bertukar menjadi tempat penderaan yang mengerikan. Apa yang terjadi ini sama sekali tidak boleh diterima dalam mana-mana masyarakat yang mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan anak-anaknya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihaknya turut menyeru agar semua badan kawal selia, bukan sahaja PDRM dan JKM, menguatkuasakan langkah pematuhan yang lebih ketat dan memastikan rumah-rumah ini dipantau serta dikawal dengan teliti, selain masyarakat bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan.

Mohamad Ezri berkata Badan Peguam Malaysia juga menekankan kepentingan kesedaran dan penyertaan awam adalah penting untuk rakyat menyedari bahawa rumah jagaan yang tidak dikawal mempunyai risiko yang besar, terutamanya terhadap golongan rentan seperti kanak-kanak.

"Dalam hal ini, Badan Peguam Malaysia bersedia untuk memberikan bantuan serta sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada mangsa-mangsa terbabit. Kita tidak boleh membiarkan penderaan mengerikan seperti ini terus diabaikan begitu sahaja.

"Badan Peguam Malaysia akan terus memperjuangkan keadilan untuk mangsa dan memastikan tindakan sewajarnya diambil untuk menghapuskan ancaman ini dalam masyarakat kita. Bersama-sama, kita mesti berusaha mewujudkan persekitaran yang lebih selamat agar hak dan maruah setiap kanak-kanak dilindungi," katanya.

Baru-baru ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata polis berjaya menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun di 18 rumah amal di Selangor dan dua di Negeri Sembilan menerusi gerakan Op Global.

-- BERNAMA