Menteri Besarnya, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, perkara itu akan dibawa ke mahkamah berikutan kerugian dianggarkan berjumlah RM50 juta setahun.
“Pulau Pinang (Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow ) yang minta bawa ke mahkamah, dia yang suruh.. bukan saya nak ambil tindakan,” katanya pada sidang akhbar selepas Sidang Kemuncak Kerajaan 4 Negeri (SG4) di Hotel Tenera Bandar Baru Bangi pada Isnin.
Terdahulu dalam ucapannya, Sanusi mengakui mempunyai sejarah panjang dengan negeri jirannya itu.
“Jumlah air yang diambil dari Sungai Muda adalah dua kali ganda daripada yang dipakai oleh negeri Kedah sendiri.
“Kita punya tanah, hutan, sungai dan air kita pakai separuh... dia pakai dua kali ganda. Dia pakai percuma, kita kena bayar,” katanya.
Jelasnya, terdapat 340,000 kawasan tadahan di Hutan Simpan Ulu Muda dengan 170 kilometer daripadanya merupakan kawasan jajaran Sungai Muda.
“Sungai ini membekalkan air ke negeri-negeri di Utara, tetapi jiran kami mengambil air yang kami tadah itu secara percuma,” katanya.
Muhammad Sanusi berkata, isu berkenaan berlarutan puluhan tahun lamanya.
“Tetapi bila kita menyuarakan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan ini sebahagian daripada pendapatan kerajaan supaya mereka dapat membayar air percuma yang diambil puluhan tahun itu, banyaklah songeh, suruh bawa pergi mahkamah pula.
“Kalau bawa pergi mahkamah, boleh tapi nampak kita yang keterlaluan,” ujarnya
Katanya, tuntutan terbabit mula dibuat pada tahun 2010 waktu Kedah ditadbir oleh Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak, namun sehingga kini belum selesai.
Sebelum ini Kon Yeow dilaporkan berkata, sekiranya kerajaan Kedah serius terhadap tuntutan tersebut negeri jiran itu seharusnya memulakan tuntutan melalui mahkamah supaya perkara itu dapat diputuskan mengikut undang-undang. - Sinar Harian