Kerajaan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa berhubung ketidakpatuhan SOP dalam kalangan ahli pemimpin politik ketika pandemik COVID-19.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu melibatkan proses mahkamah selain turut memerlukan pihak polis untuk membuka kertas siasatan.

“Jika nak dibawa ke mahkamah kes itu perlu disiasat, perlu disiasat oleh polis dan perlu dibuka kertas siasatan dan seterusnya perlu dihantar ke Jabatan Peguam Negara untuk diputuskan sama ada perlu dihadapkan ke mahkamah atau sebaliknya.

“Jadi kita serah sepenuhnya kepada pihak berkuasa mungkin sekarang ada kenyataan daripada pihak polis dan mereka sedang menyiasat, katanya ketika sidang media harian berhubung perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Selasa.

Sebelum ini, Ismail Sabri memutuskan mana-mana individu yang didapati melanggar SOP akan terus dihadapkan ke mahkamah bagi berdepan tindakan.

Baru-baru ini, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali didakwa melanggar perintah kuarantin selepas pulang dari Turki, 7 Julai lalu.

Ahli Parlimen Kuala Nerus itu dilaporkan tidak mematuhi perintah kuarantin di rumah dengan menghadiri persidangan Dewan Rakyat pada 13 Julai lalu.