Itu gambaran perasaan diberikan mangsa yang terperangkap di Risda Eco Park susulan fenomena kepala air di Kampung Sungai Bil, Slim Village, pada Jumaat.
Kesemua 21 mangsa terdiri daripada 18 pengunjung, dua orang awam tempatan dan seorang kakitangan Risda Eco Park berjaya diselamatkan pada tengah hari Sabtu.
Menceritakan detik-detik cemas itu, salah seorang mangsa, Rahmat Baki Abdul Gaffar berkata, dia bersama keluarganya merancang untuk mengadakan hari keluarga di kawasan tersebut namun semuanya musnah akibat kepala air itu.
"Pukul 6.25 petang air Sungai Geliting yang jernih bertukar menjadi warna seakan-akan teh tarik disertai hujan yang mulai turun yang menyebabkan paras air semakin meningkat.
"Saya mengarahkan ahli keluarga untuk membawa barangan termasuk khemah dan makanan dipindahkan ke kawasan lebih tinggi namun sebahagian barangan tidak dapat diselamatkan dan dibawa arus yang deras.
"Malah kereta saya juga tidak dapat bergerak selepas dihentam arus sungai yang membawa serpihan kayu-kayu yang banyak," katanya kepada Astro AWANI, pada Sabtu.
Menceritakan lanjut, Pengurus Logistik berusia 45 tahun itu berkata, pada jam 6.45 hingga 7 petang, keadaan menjadi kelam-kabut namun mereka berjaya menghubungi Angkatan Pertahanan Awam (APM) untuk memaklumkan mengenai kejadian.
"Kami hanya ingat hidup atau mati. Sewaktu kejadian kami bertungkus-lumus menyelamatkan anak-anak dan secara tiba-tiba tangki air setinggi 20 kaki tumbang dan menghala ke bahagian Dewan Makan Risda tempat kami bertahan dan membuatkan kami terpaksa melarikan diri sekali lagi untuk berlindung di pondok pengawal pula.
"Kami bernasib baik kerana kebetulan terdapat baki makanan yang belum dibawa turun dan dengan barangan itulah kami dapat memasak namun disebabkan air bersih tiada kami terpaksa menggunakan air gula untuk masak nasi," ujarnya.
Rahmat Baki dan keluarganya bernasib baik kerana telah dihubungi pihak pengurusan Risda Eco Park untuk diberikan bantuan 'talian hayat' pada 1.45 pagi dengan menggunakan tali pancing dan batu ladung.
Namun keadaan yang gelap di samping lumpur setinggi paras paha menyukarkan perjalanan mereka untuk sampai ke tebing sungai.
"Mereka campakkan tali pancing yang mempunyai batu ladung dan kami mencari batu ladung itu di dalam gelap kemudian mengikatnya di pokok.
"Barangan pertama yang dihantar kepada kami adalah 'power bank', lampu suluh dan lilin disusuli dengan roti dan bekalan air minuman," ujarnya.
Rahmat Baki dan keluarganya menzahirkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T kerana diberikan peluang untuk diselamatkan oleh agensi penyelamat yang bertungkus-lumus menggunakan pelbagai cara untuk menyelamatkan mereka.
"Malam tadi kami rasakan seperti sudah tidak berpeluang untuk hidup kerana kejadian berlaku tanpa disedari dan sangat pantas.
"Kami berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam proses menyelamatkan kami sekeluarga termasuk Pihak Pengurusan Risda, JBPM, PDRM, APM dan NGO yang terlibat," katanya.
Terdahulu dalam kejadian 7 petang pada Jumaat, 21 pengunjung dan dua kakitangan terperangkap dalam kejadian kepala air di Risda Eco Park berhampiran Sungai Geliting.
Hujan lebat berterusan dan kejadian kepala air menyebabkan jambatan yang menghubungkan Risda Eco Park dengan jalan utama runtuh dan turut menyebabkan struktur Muka Sauk Sungai Geliting pecah.
Arus deras menyukarkan operasi menyelamat susulan tiada laluan lain ke pusat rekreasi itu dan pasukan penyelamat terpaksa menunggu sehingga air surut pagi ini untuk menjalankan operasi.
Kesemua mangsa berjaya diselamatkan kira-kira 12 tengah hari.