Menurut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, pembinaan Jambatan Bailey itu dijangka mengambil masa selama lima hari untuk disiapkan.
"Jambatan Slim Village menghubungkan Pekan Slim Village ke Bandar Slim River dan Bandar Behrang.
"Jambatan tersebut mengalami kegagalan disebabkan tidak dapat menahan tekanan daripada serpihan kayu-kayu balak yang hanyut bersama aliran air banjir.
"Untuk langkah berjaga dan memastikan keselamatan pengguna jalan raya laluan tersebut ditutup sementara," ujarnya.
Dalam kejadian kira-kira 6.45 petang semalam, hujan lebat berterusan menyebabkan beberapa kawasan di Muallim dinaiki air berserta kejadian kepala air mengakibatkan ratusan penduduk terperangkap.
Setakat pagi ini kira-kira 175 mangsa daripada 42 keluarga diselamatkan dan ditempatkan di dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sementara 19 lagi mangsa di Risda Eco Park masih belum diselamatkan akibat jambatan berhampiran runtuh.