KUALA LUMPUR: Inflasi Malaysia meningkat 2.0 peratus pada Mei 2024 dengan mata indeks mencatatkan 132.8 mata berbanding 130.2 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya.


Ringkasan AI
  • Kenaikan Inflasi: Inflasi Malaysia meningkat sebanyak 2.0 peratus pada Mei 2024 berbanding dengan tahun sebelumnya.Mata indeks mencatatkan 132.8 mata berbanding 130.2 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
  • Penyumbang Utama: Perumahan, air, elektrik, gas, dan bahan api lain naik sebanyak 3.2 peratus. Restoran dan perkhidmatan penginapan juga meningkat sebanyak 3.2 peratus. Penjagaan diri, perlindungan sosial, dan pelbagai barangan dan perkhidmatan naik sebanyak 3.0 peratus.
  • Inflasi di Negeri-Negeri: Kebanyakan negeri merekodkan peningkatan inflasi di bawah paras inflasi nasional 2.0 peratus. Namun, empat negeri mencatatkan peningkatan melebihi paras inflasi nasional; Pulau Pinang (3.3 peratus), Sarawak (2.8 peratus), Pahang (2.6 peratus) dan Selangor (2.4 peratus).
  • Kadar Inflasi Asas: Bank Negara Malaysia (BNM) menjangkakan kadar inflasi asas akan meningkat kepada 3 peratus tahun ini. Penganalisis ekonomi pula menjangkakan kadar inflasi mungkin tumbuh lebih rendah dan kurang dari 3 peratus.


Peningkatan pada Mei 2024 telah didorong oleh peningkatan bagi kumpulan utama perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (3.2 peratus); restoran dan perkhidmatan penginapan (3.2 peratus) dan penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan dan perkhidmatan (3.0 peratus).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Sri Mohd Uzir Mahidin menyatakan, inflasi perumahan, air, elektrik, Gas dan bahan api lain meningkat kepada 3.2 peratus (April 2024: 3.0 peratus).

"Peningkatan ini disumbangkan terutamanya oleh subkumpulan bekalan air dan pelbagai perkhidmatan berkaitan rumah kediaman, 32.1 peratus (April 2024: 31.6 peratus)," katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau berkata, ini seiring dengan kenaikan kadar tarif bagi bekalan air untuk pengguna domestik di Perak bermula Mei 2024.

Manakala, inflasi restoran dan perkhidmatan penginapan meningkat kepada 3.2 peratus (April 2024: 3.5 peratus) disumbangkan oleh peningkatan subkumpulan utama perkhidmatan penyediaan minuman kepada 4.1 peratus (April 2024: 3.9 peratus).

Sementara itu, berhubung dengan inflasi di peringkat negeri, kebanyakan negeri merekodkan peningkatan di bawah paras inflasi nasional 2.0 peratus.

Walau bagaimanapun, empat negeri merekodkan peningkatan melebihi paras inflasi nasional iaitu Pulau Pinang (3.3 peratus), Sarawak (2.8 peratus), Pahang (2.6 peratus) dan Selangor (2.4 peratus).

"Kesemua negeri mencatatkan peningkatan inflasi makanan dan minuman," tambah Uzir.

Selain itu, Provost, Malaysia University of Science & Technology MUST, Prof Emeritus Barjoyai Bardai berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) menjangkakan kadar inflasi asas akan meningkat kepada 3 peratus tahun ini.

"Namun, penganalisis ekonomi pula menjangkakan kadar inflasi mungkin tumbuh lebih rendah dan kurang dari 3 peratus," tambah Barjoyai.

Barjoyai berkata, suku tahun ketiga 2024 merupakan penentu penting bagi menilai semula prestasi inflasi kerana susulan pelaksanaan penyelarasan semula ke atas subsidi diesel.

Pada masa sama, beliau menjangkakan impak kenaikan harga diesel tidak begitu ketara kerana menggunakan beberapa mekanisme tertentu.

Walaupun terdapat sedikit penurunan dalam sesetengah kategori, tekanan inflasi secara keseluruhan masih wujud disebabkan oleh peningkatan kos dalam sektor-sektor penting yang lain.