SERI KEMBANGAN: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri pada Khamis menyeru sektor swasta dan badan korporat agar menyokong pembangunan industri kraf tempatan.

Beliau berkata pembangunan jangka panjang industri itu dan komuniti terbabit memerlukan sokongan lebih kukuh daripada sektor swasta.

"Terdapat jumlah penajaan yang amat kurang bagi festival teater dan muzikal namun penajaan untuk pembangunan kraf sukar diperoleh.

"Justeru, saya amat gembira apabila BONIA Corporation Sdn Bhd memutuskan untuk bekerjasama dengan Yayasan Budi Penyayang (PENYAYANG) dalam menganjurkan Pertandingan Rekaan Batik Piala Seri Endon pada tahun ini," katanya pada sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian penajaan antara kedua-dua pihak di sini.

Menerusi perjanjian itu, BONIA menjadi penyampai rasmi edisi ke-17 pertandingan anjuran PENYAYANG itu, selepas dua tahun berehat susulan penularan pandemik COVID-19.

Nancy juga berkata sektor seni dan budaya adalah kumpulan terpinggir pertama yang terjejas teruk akibat pandemik itu dan kerjasama tersebut adalah tepat pada masanya.

"Saya gembira kerana budaya dan warisan Malaysia berjaya menarik perhatian sektor swasta dan badan korporat," katanya.

Menurut PENYAYANG, pertandingan itu mempelawa semua pereka dan pengeluar yang memiliki cita-cita tinggi mengambil bahagian dalam usaha melahirkan bakat baharu serta menyumbang ke arah perkembangan batik Malaysia bagi kategori fesyen, aksesori tekstil dan kraf tangan.

"Pertandingan itu akan diadili oleh sepasukan pakar dalam bidang batik bermula daripada pusingan pertama hingga peringkat akhir yang berlangsung pada 4 Sept tahun ini," katanya.

-- BERNAMA