Industri perlu berfikir semula, merangka semula dan menjana semula perniagaan mereka selepas pandemik COVID-19 untuk melangkah ke hadapan, kata Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata bagi kebanyakan perusahaan yang dilanda krisis ini, kelangsungan perniagaan menjadi tumpuan utama, dan dalam jangka masa panjang, penting untuk perniagaan kekal mampan.

"Dalam hal ini, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan melakukan yang terbaik untuk meningkatkan industri dan perniagaan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), dan untuk memastikan kemampanan pekerjaan.

"Antara kebimbangan utama bukan hanya jumlah pekerjaan, tetapi juga pentingnya produktiviti pekerja kita," katanya dalam ucapan pada forum bertajuk "Rethink, Reinvent, Revitalise in the New Normal", pada Rabu.

Webinar itu dikendalikan oleh bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Datuk Dr Wong Lai Sum, dengan ahli panel daripada Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), Linxens China, dan Deloitte.

Beliau berkata inisiatif itu dianjurkan khas untuk syarikat melihat situasi dan merangka strategi untuk melangkah ke hadapan, serta MPC dan rakannya telah mengatur penceramah terkemuka dan peneraju industri di peringkat antarabangsa untuk berkongsi pengetahuan dan pandangan mereka.

Selain itu, katanya krisis COVID-19 telah menekankan keperluan kepada transformasi ekonomi Malaysia yang pesat dan mempercepatkan pemerkasaan digital untuk kehidupan rakyat Malaysia adalah cara terbaik untuk melangkah ke hadapan.

"Dalam situasi semasa, saya ingin menggesa komuniti perniagaan untuk melihat kepada cabaran yang dihadapi sebagai peluang untuk menambah nilai kepada perniagaan mereka.

"Ini adalah waktu yang terbaik untuk mempercepatkan agenda pendigitalan mereka dalam semua aspek perniagaan mereka.

"Hakikat bahawa COVID-19 telah menyedarkan kita kepada realiti mengenai kepentingan pendigitalan dan sebab kita memerlukannya," katanya.

"Pendigitalan memacu produktiviti dan meningkatkan hubungan antara rakan kerja, pelanggan dan rakan perniagaan menjangkaui sempadan geografi dan dapat membantu mengurangkan jejak karbon.

"Ia akan dapat membantu kita mencapai pertumbuhan ekonomi yang mampan selain melindungi alam sekitar dan kesejahteraan rakyat," katanya.

-- BERNAMA