PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen menumpaskan sindiket "Ofu Bhai" yang aktif menjalankan kegiatan pemalsuan dan pengubahsuaian pasport tulen sejak dua tahun lepas, dalam operasi di sebuah rumah di Kajang, Selangor pada 10 Mei lepas.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh berkata dalam operasi pada 4.14 petang itu, dalang utama iaitu lelaki warga Bangladesh berumur 38 tahun dikenali sebagai "Ofu Bhai" ditahan bersama wanita warga Filipina berumur 40 tahun yang merupakan orang kanannya.

Beliau berkata sindiket itu menawarkan perkhidmatan meminda pasport tulen yang telah tamat tempoh bagi mengelirukan pihak berkuasa dengan harga RM1,000 hingga RM1,500 bagi satu pasport.

"Taktik ini adalah baharu, sindiket ini menggunakan pasport tulen yang telah tamat tempoh dengan meminda maklumat tarikh luput pasport sahaja, maklumat pemilik asal dikekalkan bagi mengelirukan pihak berkuasa.

"Sindiket ini juga menggunakan maklumat palsu pada pasport terbabit untuk mendapatkan kelulusan Agensi Pemantauan dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema) dengan harga RM600 hingga RM1,000 bagi setiap dokumen," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata pemeriksaan di rumah berkenaan membawa kepada penemuan satu set komputer, 211 pasport yang terdiri daripada 199 pasport Bangladesh, empat pasport India, tiga pasport Filipina, tiga pasport Myanmar dan dua pasport Indonesia.

Turut ditemukan ialah 31 helaian muka depan biodata pasport, 144 keping dokumen Fomema, pelbagai peralatan untuk membuat dokumen palsu dan wang tunai sebanyak RM16,000.

"Semakan awal mendapati dalang utama kes ini tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas sah untuk berada di Malaysia dan wanita itu pula telah tinggal lebih masa.

"Hubungan kedua-dua suspek ialah rakan kongsi dan kita percaya mungkin sindiket ini mempunyai rangkaian lain di luar. Kita tahu kebanyakan transaksi sindiket ini dibuat secara dalam talian," katanya.

Ruslin berkata kedua-dua suspek kini direman selama 14 hari di Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 55D Akta Imigresen 1969/63.

-- BERNAMA