BUKIT KAYU HITAM: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah mengesahkan pihaknya dimaklumkan lebih awal maklumat berhubung pergerakan dua kenderaan rekreasi (motorhome) yang disyaki mempunyai kaitan dengan Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holdings Sdn Bhd, semalam.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, JIM Kedah berkata, maklumat yang diterima memaklumkan, kenderaan GISB itu akan keluar dari negara ini melalui pintu sempadan Bukit Kayu Hitam sekitar jam 3 petang.

JIM Kedah juga diberitahu, kenderaan-kenderaan itu dijangka berhenti di lokasi berhampiran Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Bukit Kayu Hitam.

Berikutan itu, pasukan penguatkuasa JIM Kedah segera bertindak berdasarkan maklumat ini dengan menjalankan siasatan dan mengesan dua buah motorhome yang membawa lima individu.

"Pemeriksaan awal mendapati kelima-lima individu itu adalah warganegara Malaysia berusia antara 29 hingga 45 tahun.

"Semakan rekod keluar masuk menunjukkan bahawa perjalanan terakhir mereka ke luar negara dilakukan pada 20 Ogos lalu melalui pintu sempadan yang sama.

"Walaupun tiada pelanggaran undang-undang Imigresen dikesan, JIM memutuskan untuk bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana siasatan lebih lanjut sedang dijalankan," menurut kenyataan itu, pada Khamis.

Kenyataan itu turut memberitahu, selepas kedua-dua motorhome memasuki kawasan ICQS, JIM menjalankan pemeriksaan menyeluruh terhadap kesemua individu terbabit.

PDRM kemudian mengambil alih kes itu dan menahan seorang daripada mereka untuk siasatan lanjut manakala yang lain turut diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan seterusnya.

Dalam perkembangan lain, kenderaan motorhome itu dilaporkan dibawa ke sempadan bagi tujuan memperbaharui dokumen Permit Peredaran Antarabangsa (ICP) yang dikhabarkan sudah hampir tamat tempoh.

Menurut peraturan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), setiap kenderaan perlu hadir secara fizikal untuk pemeriksaan.

Hasil pemeriksaan JPJ mendapati bahawa nombor casis dan enjin kenderaan adalah dalam keadaan baik dan pembaharuan ICP hanya boleh dilakukan di pejabat JPJ sempadan dengan tempoh sah selama tiga bulan.

"Maklumat awal menyatakan bahawa kenderaan itu didaftarkan atas nama individu di Qatar dan bukan milik GISB, dan menggunakan nombor pendaftaran Dubai dengan nilai RM700,000.

"Setiap motorhome mampu memuatkan enam hingga lapan orang dalam satu masa.

"Selepaa selesai urusan JPJ, kenderaan itu kemudian bergerak ke GISB Darul Aman, Jitra untuk bermalam," menurut kenyataan itu lagi.

Dalam pada itu, JIM menegaskan, pihaknya sentiasa bersedia bekerjasama dengan agensi lain seperti PDRM bagi memastikan keselamatan dan integriti sempadan negara sentiasa terpelihara.

Katanya, sebarang percubaan untuk melanggar undang-undang, termasuk tindakan membawa keluar aset atau individu tanpa kebenaran yang sah, pasti akan mendapat perhatian segera dari pihak berkuasa.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husin mengesahkan penahanan lima lelaki yang disyaki mempunyai kaitan dengan GISB dan merampas dua kenderaan motorhome yang mempunyai lambang syarikat itu di Bukit Kayu Hitam pada jam 6 petang.

Beliau berkata, kejayaan menahan individu dan merampas dua kenderaan rekreasi yang mempunyai lambang GISBH dengan nombor pendaftaran X31337 dan X37313 di bandar sempadan Malaysia-Thailand itu adalah hasil siasatan Unit Risikan Sempadan Zon Utara.

Hasil pemerhatian mendapati kenderaan itu bergerak ke ICQS Bukit Kayu Hitam menghala ke Thailand dan difahamkan, seorang daripada lima individu yang ditahan itu adalah anak kepada pemimpin utama syarikat terbabit.