KUALA LUMPUR: Penghidap penyakit jantung Amanda Omeychua tidak menjadikan penyakitnya itu sebagai penghalang untuk menggalas anak lelakinya yang berusia dua tahun enam bulan, menawan puncak tertinggi di Malaysia, Gunung Kinabalu, baru-baru ini.


Ringkasan AI
  • Penghidap penyakit jantung, Amanda Omeychua, berjaya mendaki Gunung Kinabalu bersama anak lelakinya yang berusia dua tahun enam bulan, bergilir-gilir dengan suaminya untuk menggalas anak mereka.
  • Amanda, yang mempunyai masalah dua injap jantung berlubang, mahu mencipta kenangan bersama anaknya sebelum menjalani pembedahan jantung kali kedua untuk menggantikan injap plastik dengan injap mekanikal.
  • Amanda, seorang pemandu pelancong berpengalaman mendaki gunung, menasihati ibu bapa agar tidak membawa anak kecil mendaki tanpa persiapan mental dan fizikal yang mencukupi.


Sepanjang pendakian selama dua hari satu malam ke puncak berketinggian 4,095 meter itu, Amanda, 30, bergilir-gilir dengan suaminya Muhammad Hafizuddin Mustapa, 31, menggalas Muhammad Noah Rizqullah yang seberat 25 kilogram berserta beg kelengkapan lain.

Berkongsi kisah itu kepada Bernama, anak Kudat, Sabah tersebut berkata dia mahu mencipta sebanyak mungkin kenangan bersama-saman anaknya, sebelum dia menjalani pembedahan jantung kali kedua kelak.

Dia yang didiagnosis dengan masalah dua injap jantung berlubang ketika berusia 14 tahun, menjalani pembedahan pertama bagi menggantikan injap bocor dengan injap plastik pada 2020.

"Sebagai pesakit jantung berlubang, saya tidak dibenarkan mengandung dengan injap jantung sedemikian. Jadi, disebabkan kami berhasrat untuk memiliki anak sendiri, saya menjalani pembedahan memasukkan injap gantian yang bertahan 10 tahun," kongsinya.

Menurutnya, dia perlu menjalani pembedahan kedua bagi menggantikan injap plastik itu dengan injap mekanikal tidak lama lagi.

"Kalau terus guna injap mekanikal pada pembedahan pertama, saya langsung tidak boleh mengandung kerana perlu mengambil warfarin, iaitu ubat cair darah setiap hari," sambungnya.

Bercerita tentang pengalamannya semasa mendaki Gunung Kinabalu, Amanda yang bekerja sebagai pemandu pelancong, berkata dia tidak berdepan sebarang masalah kerana aktiviti itu telah dilakukannya sejak lebih 10 tahun lalu.

Dia yang telah menawan hampir kesemua gunung di Malaysia, juga pernah sampai beberapa kali di Annapurna Base Camp dan Everest Base Camp di Nepal.

"Saya juga sudah biasakan anak saya dengan aktiviti ini, membawanya mendaki gunung seperti Gunung Angsi, Negeri Sembilan dan Gunung Merbabu di Jawa, Indonesia," ceritanya.

Bagaimanapun kata wanita itu, sebaik turun dari Gunung Kinabalu, dia tetap melakukan pemeriksaan kesihatan ke atas Noah.

"Dia tidak banyak meragam ataupun menangis. Malah, jelas seronok walaupun digalas didalam beg belakang dan kerap kali meminta kami meneruskan perjalanan apabila kami berhenti bagi memeriksa keadaannya," kata Amanda.

Bagaimanapun, dia menasihati ibu bapa lain agar tidak membawa anak kecil mendaki semata-mata kerana terpengaruh dengan orang lain, selagi tidak melakukan persiapan secukupnya dari segi mental dan fizikal.



-- BERNAMA