Usaha luar biasa seorang tenaga pengajar aplikasi mudah alih, Kartina Abdul Ghani, 53, ibu tunggal kepada lima anak, mencipta sejarah apabila berjaya menerbitkan dua aplikasi mudah alih dari atas puncak tertinggi Malaysia, Gunung Kinabalu, pada Khamis
Tepat pada pukul 6.27 pagi, aplikasi yang dihasilkan Kartina - Ensiklopedia Hidupan Liar Sabah dan Kalendar Perayaan dan Festival Sabah - telah berjaya diterbitkan terus ke Google Play Store dan Apple App Store, mencerminkan semangat juang dan kebolehan teknologi Kartina dalam bidang pembangunanaplikasi.
Kartina, pengasas yang juga tenaga pengajar di Akademi Apps Master Builder (Akademi AMB), telah memulakan pendakian pertamanya pada 15 Oktober lalu dan berjaya tiba ke puncak pada pendakian kelimanya pada Khamis.
Dalam ekspedisi yang cukup mencabar ini, beliau merancang untuk mendaki Gunung Kinabalu sebanyak sembilan kali sehingga 9 November depan.
Sasaran beliau adalah menerbitkan sembilan aplikasi dalam ekspedisi itu.
Menariknya, selepas ekspedisi ini, Kartina akan meneruskan misi antarabangsa beliau ke Poland dan kemudian ke Kem Pangkalan Everest tahun hadapan, dengan harapan besar untuk mendaki puncak tertinggi dunia, Gunung Everest, pada tahun 2026.
SERTAI PENDAKIAN EKSKLUSIF BERSAMA KARTINA
Kartina turut membuka peluang eksklusif kepada mana-mana wartawan yang ingin mengikutinya dalam baki empat lagi pendakian terakhir di Gunung Kinabalu, dengan syarat peserta haruslah sihat tubuh badan dan cukup stamina untuk mengikuti ekspedisi lasak ini.
Ini adalah peluang unik bagi media untuk menyaksikan secara langsung keupayaan Kartina dalam menghasilkan aplikasi mudah alih dari salah satu puncak tertinggi Asia Tenggara sambil mendaki gunung.
SESI WAWANCARA ZOOM
Media yang berminat boleh menyertai sesi wawancara khas bersama Kartina melalui Zoom pada 4 November 2024, pukul 5 petang.
Sesi ini akan membolehkan wartawan bertanya mengenai inspirasi dan cabaran Kartina dalam melaksanakan misi luar biasa ini, yang menggabungkan kecekalan fizikal dan inovasi teknologi.
Ekspedisi Kartina ini bukan sahaja membuktikan keupayaan seorang ibu tunggal tetapi juga memberi inspirasi kepada semua wanita Malaysia dalam bidang teknologi.