Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, sektor seperti semikonduktor, teknologi, kejuruteraan dan bidang STEM lain yang berkembang pesat, menawarkan peluang besar untuk kejayaan kerjaya jangka panjang.
Beliau berkata, pengaruh ibu bapa terhadap pilihan kerjaya anak-anak adalah penting terutama dalam bidang yang sejajar dengan tuntutan masa depan, khususnya sektor semikonduktor.
"Penyelidikan yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Khazanah pada 2018 menunjukkan bahawa 72 peratus keputusan anak-anak mengenai masa depan dipengaruhi oleh ibu bapa mereka.
"Statistik ini menunjukkan tentang tanggungjawab yang dipikul semasa membimbing anak-anak dalam memilih laluan kerjaya mereka," katanya ketika menutup IC Design Make-A-Thon 2024 di Universiti Teknologi Sarawak (UTS), di sini, pada Ahad.
Sehubungan dengan itu, Dr Annuar menggesa ibu bapa untuk menggalakkan anak mereka meneroka laluan kerjaya yang selari dengan minat mereka di samping memenuhi permintaan industri masa depan.
"Memilih kerjaya dalam industri semikonduktor khususnya dalam reka bentuk litar bersepadu (IC) menawarkan anak anda bukan sahaja keselamatan pekerjaan, tetapi juga peluang menjadi sebahagian daripada industri global yang membentuk masa depan," katanya.
Sementara itu, pasukan Electrocak yang diwakili Tiong Wei Jie dan Ki Hui Yee dari UTS, bersama-sama Tiffany Jun Mckenzie dan Nur Aleesya Dayana Mohamad Salim dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Nangka muncul juara pada acara tiga hari bermula Jumaat itu.
Pasukan akan menerima hadiah wang tunai pada Grand Finale di Kuching, 3 Nov ini.
Naib juara menjadi milik pasukan LP yang disertai Risu Manuel Frankie Deria dan Maiwarda Safidi dari UTS, serta Ho Nyet Wei dan Fong Yu Chen dari SMK Deshon manakala The Dragon Warriors di kedudukan ketiga yang dianggotai Vincent Tiong Yong Han (UTS), Reiko Wong Ke Shin dan Gabriella Vanessa Usu Sylvester Jigom (SMK Rosli Dhoby).
Pasukan Alligator of Innovation terdiri daripada Tiong Jiing Bin dan Chiu Siew Chin (UTS) serta Elyiana Ummie Deris dan Willexsly Willismo (SMK Durin) merangkul Anugerah The People's Choice.
Acara yang disertai 40 pelajar yang membentuk 10 pasukan, dengan penyertaan daripada UTS dan 10 sekolah menengah itu bertujuan mempromosikan industri semikonduktor khususnya reka bentuk litar bersepadu di samping memajukan pendidikan STEM di sekolah dan universiti.
Ia dianjurkan oleh SMD Semiconductor dengan sokongan Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat negeri, Majlis Penyelidikan dan Pembangunan Sarawak (SRDC), Chumbaka dan UTS. - BERNAMA