KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak dilaporkan sudah menghantar jawapan bertulis kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun berhubung kenyataan beliau berkaitan 1MDB yang didakwa mengelirukan Dewan sebelum ini.

Sumber dari Pejabat Speaker Dewan Rakyat mengesahkan perkara tersebut dan memaklumkan jawapan bertulis itu sudah dihantar sebelum jam 10 pagi pada Selasa.

“Ya, Datuk Seri Najib Razak sudah menghantar (jawapan bertulis) itu sebelum jam 10 pagi tadi,” katanya.

Astro AWANI sebelum ini melaporkan Azhar mengatakan Najib tidak mengingkari arahannya meskipun tidak menjelaskan isu 1MDB pada Rabu lepas seperti yang diarahkan sebelum ini.

Menurutnya, tidak timbul persoalan sama ada Ahli Parlimen Pekan itu mengingkari arahan Speaker atau tidak kerana beliau sendiri sudah memberi lanjutan masa kepada Ahli Parlimen Pekan itu.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 11 Mac lepas mengesahkan beliau telah menghantar surat kepada Azhar bagi menjelaskan isu berhubung 1MDB.

Beliau memberitahu, surat tersebut sepatutnya dihantar pada 9 Mac lalu, namun beliau telah menghantarnya sebelum tarikh tersebut.

Pada 3 Mac lalu, blok pembangkang mengemukakan usul supaya Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan kebebasan Parlimen kerana mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan Dewan Rakyat.

Tony Pua (PH-Damansara) ketika mengemukakan usul itu berkata, kenyataan yang dibuat Najib ketika membahaskan Titah Diraja pada Rabu itu juga turut disifatkan sebagai menghina majlis.

Najib dalam dalam sesi perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat sehari sebelum itu mendakwa tidak ada satu sen pun wang rakyat yang digunakan untuk membayar prinsipal hutang 1MDB.

Jelasnya, bayaran sebanyak RM16.4 bilion yang diterima daripada Goldman Sachs bukanlah wang rakyat sebaliknya itu adalah wang bank terbabit yang boleh digunakan untuk membayar hutang 1MDB.