KUALA LUMPUR: Beberapa jalan utama menuju ke pusat bandar terhalang selepas dilanda banjir kilat pada pagi Selasa.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan, trafik bergerak perlahan di Kilometer 6.3 Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) arah selatan dari Bandar Utama ke Taman Tun Dr Ismail.


Ia selepas laluan susur masuk dua lorong terpaksa ditutup sementara selepas dinaiki air.

Sementara itu, seorang pengguna media sosial turut berkongsi video memaparkan keadaan Jalan Parlimen ke Bukit Aman tidak boleh dilalui susulan limpahan air memenuhi jalan utama.


Turut dikongsikan keadaan jalan utama masuk ke Universiti Malaya terhalang selepas ditenggelami banjir.


Sementara itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi perkongsian di Facebook menasihatkan warga kota berhati-hati di jalan raya ekoran hujan lebat di Kuala Lumpur.

Ujar kenyataan itu, pemandu dinasihat memandu dengan perlahan ekoran jalan licin, menjaga jarak selamat dan tidak memotong lorong jika tiada keperluan.

Pengguna juga diminta memastikan lampu serta 'wiper' berfungsi dengan baik supaya penglihatan jelas ketika berdepan situasi cuaca hujan.


Sebelum itu, Jabatan Meteorologi Malaysia telah mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat diramal berlaku antara jam 9 hingga 11 pagi, Selasa di beberapa kawasan.

Antaranya, Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor (Sabak Bernam, Kuala Langat dan Sepang). - Sinar Harian