KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan untuk mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Hostel Centennial dan Kampung Acheh di Sitiawan, Perak bermula 25 Februari sehingga 10 Mac depan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira peningkatan kes terhadap kesemua lokaliti terbabit.

“KKM mengesahkan berlaku peningkatan kes di lokaliti ini dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi dan setelah mendapat nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di kawasan tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan, tindakan tersebut juga bertujuan bagi memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar terhadap semua penghuni asrama yang terlibat.

Tindakan itu juga merangkumi kawalan pergerakan dan penularan jangkitan dalam komuniti.

Menurutnya lagi, KKM telah melaksanakan sebanyak 349 ujian saringan dan daripada jumlah itu, seramai 125 individu disahkan positif COVID-19.