KUALA LUMPUR: Lebih 140 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menghantar memorandum ke pejabat Suruhanjaya Tinggi India di sini, menyatakan bantahan terhadap kenyataan menghina Nabi Muhammad yang dilakukan jurucakap negara itu baru-baru ini.

Semua NGO tersebut yang bernaung di bawah Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM) mendesak agar parti utama Kerajaan India, Bharajaya Janata (BJP) mengambil tindakan tegas terhadap dua individu yang terlibat dalam kontroversi itu.

Wakil NGO tersebut yang juga Pengerusi Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM), Muhammad Najhan Shahir Halim berkata, mereka mendesak BJP memohon maaf kepada seluruh umat Islam di dunia dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan sama.

“Penghinaan itu juga satu provokasi yang tidak boleh diterima yang kita secara globalnya, secara amnya bahwa menghina agama ini satu perkara yang tidak baik dan tidak mulia bagi seseorang yang hidup dalam masyarakat bertamadun.

BACA: Malaysia kutuk sekeras-kerasnya kenyataan menghina Nabi Muhammad

BACA: Nabi Muhammad dihina, sikap berdiam diri Kerajaan Malaysia memalukan - Pejuang Muda


“Ia mampu menggugat kestabilan masyarakat. Kami mendesak kerajaan India pada hari ini khasnya parti BJP utk mengenakan tindakan tegas kepada kedua-dua pemimpin itu dengan melucutkan jawatan dalam parti dan kerajaan sekiranya ada,” katanya.

Hina Nabi Muhammad | Lebih 140 NGO hantar memorandum bantahan


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyerahkan memorandum tersebut kepada pejabat Suruhanjaya Tinggi India di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Tuan Kamarul Ariff Tuan Soh yang turut berada di sana meluahkan kekesalan kerana pihak India tidak melayan mereka secara demokratik dan diplomatik ketika serahan memorandum tersebut.

India | Hadapi kemarahan selepas kenyataan hina Islam


“Kita ingin menyatakan kekesalan kita terhadap sikap Suruhanjaya Tinggi India di Malaysia yang sebenarnya sangat tidak berdiplomatik dan demokratik seperti yang mereka dakwa.

“Sepatutnya apabila mereka ada hak untuk menyatakan pandangan mereka, mereka juga juga perlu melaksanakan tanggungjawab untuk mendengar sungutan daripada peringkat bawahan.

“Tindakan untuk tidak menerima memorandum daripada masyarakat madani di Malaysia bukan satu tindakan yang bersifat demokratik dan diplomatik yang mereka laung-laungkan,” ujarnya.

Penasihat Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Kamarulzaman Mohamad pula menegaskan selagi tiada tindakan terhadap dua jurucakap tersebut, Nupur Sharma dan Naveen Jindal, mereka akan terus membangkitkan kesedaran umat Islam terhadap isu tersebut.

Hina Nabi Muhammad | Malaysia mahu India hentikan penghinaan dari berulang


“Selagi mana tiada tindakan yang diambil terhadap mereka, maka kita umat Islam akan teruskan agenda untuk bangkitkan kesedaran umat Islam terhadap perbuatan biadab yang dilakukan BJP.

“Ini juga jadi amaran kepada semua pihak sama ada di India atau di Malaysia atau di mana sahaja, jangan sekali-kali bertindak biadab di luar batasan akal, ketamadunan manusia dengan melakukan penghinaan terhadap agama yang lain,” katanya.

Astro AWANI sebelum ini melaporkan kerajaan Malaysia menerima baik tindakan parti utama Kerajaan India, Bharajaya Janata (BJP), yang menggantung seorang jurucakap, dan memecat seorang lagi kerana menghina Nabi Muhammad.

Namun, Menteri Luar Negeri Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, Malaysia juga gusar kerana situasi itu dilihat sering kali berulang.

Kata Ahli Parlimen Indera Mahkota itu lagi, perkara itu telah disuarakannya dalam pertemuan dengan Pesuruhjaya Tinggi India ke Kuala Lumpur, BN Reddy pada Selasa lepas.