PAITAN: Penduduk Kampung Rancangan Cocos di sini, yang terjejas banjir selama tiga hari sejak Selasa lepas, memohon bantuan sewajarnya daripada kerajaan berikutan hasil pertanian mereka rosak akibat bencana banjir yang melanda daerah itu.

Rata-rata penduduk yang mengusahakan kelapa sawit berdepan keadaan kebun yang masih digenangi air banjir sehingga menyukarkan mereka masuk untuk mengeluarkan hasil tanaman.

Seorang pekebun, Rothman Jiha, 65, berkata kawasan yang dinaiki air akan mengambil masa sehingga dua minggu untuk kering sepenuhnya.

"Biasanya apabila banjir, longkang akan tersumbat dan menyukarkan pengaliran keluar air bertakung," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Rothman adalah antara 31 penduduk kampung yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) akibat banjir susulan hujan berterusan sejak Selasa lepas di daerah itu.

Semalam, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan semua PPS di Paitan telah ditutup dan penduduk dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Poplin Chinin, 73, pula berkata dia hilang pendapatan selepas bencana banjir melanda kerana tiada orang yang sanggup masuk ke kebunnya untuk mengambil buah sawit walaupun dia sanggup membayar upah.

-- BERNAMA