KUALA LUMPUR: "Dari mana punai melayang, dari paya turun ke padi, dari mana datangnya sayang, dari mata turun ke hati."
Diambil makna pantun empat kerat itu, tidak menghairankan jika ramai antara kita yang mendambakan sepasang mata yang cantik, dan bagi penduduk di Asia yang rata-rata bermata gelap dan coklat gelap, pasti ada yang mengimpikan warna-warna persis "mat dan minah salleh".
Warna anak mata atau iris, seperti juga warna kulit dan rambut, dipengaruhi oleh kadar kandungan melanin, iaitu sejenis pigmen yang menentukan warna dan berfungsi melindungi organisma hidup daripada pancaran sinar ultraungu matahari. Oleh itu, penduduk di wilayah yang menerima pancaran matahari terik sepanjang tahun seperti Asia, lazimnya mempunyai kulit yang lebih gelap, rambut hitam dan mata berwarna gelap atau coklat gelap.
Justeru, memakai kanta lekap berwarna menjadi pilihan bagi yang inginkan warna mata idaman seperti biru, hijau dan lain-lain.
Namun, bagaimana pula dengan mereka mempunyai sepasang mata berlainan warna?
BUKAN CACAT
Muhammad Aidi Adam Mohd Aidi Sukri, 15, antara yang tergolong dalam kelompok ini yang menurut pakar perubatan hanya dialami oleh satu peratus daripada populasi dunia.
Mata kanan remaja ini berwarna biru laut sementara sebelah kiri pula berwarna gelap.
Berkongsi pengalaman sewaktu melahirkan anak sulungnya itu, Mazura Zulkeflee memberitahu Bernama yang dia mengesan perbezaan warna mata anaknya tersebut selepas beberapa jam dilahirkan, menyebabkan perasaan gembiranya bertukar bimbang.
"Memang terkejut waktu itu. Saya rasa hairan kenapa boleh dapat warna mata yang berbeza. Doktor menasihati saya supaya mata anak saya diperiksa semula sekiranya dia tidak dapat melihat pada usia seterusnya.
"Ketika Muhammad Aidi Adam berusia dua tahun, saya dapati matanya yang berwarna biru asyik berair dan saya amat bimbang jika dia tidak dapat melihat, lalu saya bawa dia untuk pemeriksaan di Hospital Kuala Lumpur," katanya yang dihubungi baru-baru ini.
Menurutnya, selepas pemeriksaan, doktor mengesahkan penglihatan anaknya adalah normal dan isu mata berair itu dipengaruhi oleh kadar cahaya yang masuk ke dalam mata dengan mata berwarna gelap, iaitu mempunyai kandungan melanin yang tinggi, mampu mengawal dan menyebarkan kemasukan cahaya, berbanding dengan iris yang kurang kandungan melanin, menyebabkan mata berwarna biru itu berair.
Berhubung perkembangan tumbesaran anaknya itu, Mazura yang merupakan penjawat awam di sebuah hospital di utara Semenanjung, berkata Muhammad Aidi Adam menjalani kehidupan normal seperti kanak-kanak lain.
"Cuma ketika berusia lapan tahun dia mengadu penglihatannya kabur. Selepas diperiksa oleh optometris, anak saya didapati mengalami rabun yang agak teruk dan perlu memakai cermin mata. Atas nasihat pakar juga saya rujuk dia ke hospital dan hingga kini masih dalam rawatan susulan akibat masalah rabun itu (yang bukan disebabkan oleh warna mata)," jelasnya.
Cerita Mazura lagi, keunikan mata anaknya itu menyebabkan Muhammad Aidi Adam menjadi tumpuan ramai termasuk guru dan rakan dengan ada yang ingin bergambar.
"Ramai juga yang menegur adakah anak saya memakai kanta lekap," ujar ibu kepada tiga cahaya mata itu, menambah susur galur keluarga dia dan suami juga tidak mempunyai mata berbeza warna.
APA ITU HETEROKROMIA?
Tidak dinafikan barangkali ada yang sanggup memakai kanta lekap berlainan warna, namun, dalam kebanyakan kes yang ditemukan oleh pakar, mereka ini adalah individu yang mengalami satu keadaan perubatan dikenali heterokromia (heterochromia).
Muhammad Aidi Adam bukanlah satu-satunya kes heterokromia di rantau ini. Baru-baru ini tular kisah model cantik dari Filipina, bernama Julia Ostan yang memiliki mata berwarna biru dan coklat.
Justeru, apakah itu heterokromia, siapakah yang berpotensi mengalaminya serta apakah faktor penyebab?
Menurut Dr Fiona Chew Lee Min, Pakar Perunding Mata, Pakar Perunding Mata Kanak-kanak dan Pakar Bedah Strabismus daripada Pusat Perubatan Sunway Velocity, heterokromia bermaksud seseorang yang mempunyai anak mata berlainan warna atau memiliki lebih daripada satu warna dalam mata.
"Warna mata ditentukan oleh kandungan melanin dalam iris mata. Sekiranya kandungan melanin tinggi, warna mata akan menjadi lebih gelap.
"Kebiasaannya kadar kandungan melanin adalah sama dalam kedua-dua mata. Akan tetapi, disebabkan penyakit atau keadaan mata tertentu, boleh menyebabkan kandungan melanin berlainan di kedua-dua mata dan mengakibatkan warna mata yang berlainan," katanya ketika dihubungi Bernama.
Menurutnya, keadaan itu juga lebih lazim berlaku pada haiwan berbanding manusia.
TIDAK BERBAHAYA
Mengulas lanjut, Dr Fiona berkata terdapat tiga jenis heterokromia, iaitu heterokromia lengkap yang mana individu terbabit mempunyai sepasang mata berlainan warna, heterokromia separa (satu mata mempunyai warna berlainan) dan heterokromia pusat, iaitu hanya bahagian dalam anak mata berlainan warna.
Menurutnya, heterokromia lebih kerap dijumpai di Eropah.
"Di Malaysia belum ada statistik yang dikeluarkan secara khusus tentang keadaan perubatan ini," katanya, menambah beliau juga ada menemukan beberapa kes heterokromia di negara ini sepanjang kariernya.
Mungkin ada yang tertanya-tanya apakah mereka yang mengalami heterokromia ini berisiko mendapat penyakit yang boleh memudaratkan, namun kata Dr Fiona, keadaan itu tidak menjejaskan penglihatan seseorang.
Bagaimanapun kata beliau, adalah penting untuk ditentukan punca seseorang mengalami heterokromia.
"Seseorang mendapat heterokromia disebabkan oleh beberapa faktor seperti keturunan, sindrom seperti Horner, Sturge Weber, Waardenburg dan Hirsprung disease. Keadaan ini juga boleh terjadi disebabkan penyakit mata seperti kecederaan mata, pendarahan, kanser mata dan sesetengah penggunaan ubat-ubatan juga boleh menjadi punca heterokromia," jelasnya.
Sindrom Waardenburg adalah mutasi genetik dan pesakit dalam keadaan ini akan mengalami perubahan warna mata dan rambut selain terjejas pendengaran. Sindrom ini berlaku kepada seorang daripada setiap 40,000.
Sindrom Horner pula disebabkan gangguan saraf simpatetik pada mata, dan pesakit yang mengalami sindrom ini biasanya mempunyai anak mata yang kecil, mata kuyu, tidak berpeluh serta mata nampak lebih kecil.
"Sindrom Sturge Weber pula merupakan gangguan pada kulit, otak dan mata. Keadaan ini terjadi kerana saluran darah tumbuh secara berlebihan dan menjadi ketumbuhan yang dinamakan angioma. Angioma boleh tumbuh di otak, mata dan kulit pesakit.
"Heterokromia juga boleh berlaku sekiranya seseorang itu mengalami Hirshprung disease yang merupakan satu penyakit sistem saraf tidak normal dalam usus besar.
"Ini akan menyebabkan pesakit sukar membuang air besar. Sesetengah pesakit akan mengalami heterokromia dan ini dikaitkan dengan perkembangan sel "neural crest". Sel neural crest merupakan sel asas yang akan membentuk tisu-tisu berlainan pada badan," katanya.
-- BERNAMA
Bernama
Mon Jul 04 2022
Muhammad Aidi Adam Mohd Aidi Sukri antara yang tergolong dalam kelompok ini. - Foto BERNAMA
Pantai Port Dickson meriah, jadi tumpuan pengunjung sempena cuti sekolah
Pesisiran pantai itu meriah dengan pengunjung beriadah sambil melakukan aktiviti air meskipun cuaca agak mendung.
Dua maut nahas kereta berlanggar lori 10 tan
Kemalangan melibatkan sebuah kereta Proton Waja yang dipercayai berlanggar dengan lori 10 tan.
JPS ramal banjir landa sembilan jajahan di Kelantan Ahad depan
JPS meramalkan kemungkinan berlaku banjir di sembilan jajahan di Kelantan dalam tempoh tiga hari bermula Ahad depan.
AWANI Pagi: Merancakkan ekonomi Pahang cara Kuantan 188
Bagaimana ekonomi Pahang khususnya ibu kota Kuantan boleh dirancakkan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026. Apa peranan bijak boleh dimainkan produk pelancongan seperti Kuantan 188 untuk merangsang peluang mengajak kedatangan pelancong lebih-lebih lagi semasa Malaysia memegang tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN tahun depan. Diskusi bersama Mohd Hanis Fakhri Ahman Yussri, Pengurus Operasi Kuantan 188 untuk kupasannya dalam siaran luar Awani Pagi dari Kuantan 188, di Kuantan Pahang.
The Economy: Xmas, new years, and a new US President
BFM Anchor, Sharaad Kuttan dives into the global buzz surrounding Donald Trump’s inauguration, blending festive vibes with critical analysis. Join us as we unwrap the intersection of holiday cheer and political shifts.
Transforming AI Applications with Langflow by DataStax
DataStax introduces Langflow, an innovative low-code platform for building and deploying AI applications. This tool simplifies the design and implementation of generative AI and RAG applications, enabling businesses to leverage artificial intelligence more efficiently and effectively.
Mykhailo Mudryk-Chelsea 'berpisah sementara'
Pemain berusia 23 tahun itu mungkin berdepan hukuman larangan berpanjangan jika didapati bersalah.
Silent Risk: How weak regulations impact property owners, tenants, and the real estate market
How gaps in regulation put property owners, tenants, and the real estate market at risk. Join Director, Research, Sr Sulaiman Saheh Explore as he explore critical need for robust property management regulations to safeguard public interest and elevate industry standards.
Malaysia hab pelaburan global, lonjak reformasi ekonomi
Niaga AWANI meninjau bagaimana lonjakan pelaburan pada sembilan bulan pertama tahun ini dapat diterjemahkan kepada manfaat ekonomi yang ketara, peluang pekerjaan berkualiti dan kemakmuran jangka panjang.
Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS
Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS hari ini, disokong oleh yuan yang stabil.
Heterokromia, kondisi perubatan unik dialami satu peratus populasi dunia
Warna anak mata atau iris, seperti juga warna kulit dan rambut, dipengaruhi oleh kadar kandungan melanin.