KUANTAN: Untuk pertama kalinya ambang merdeka disambut dengan sedikit kelainan di Kuantan malam tadi.

Sebanyak 65 terjunan base atau 'base jump' dilakukan dari Menara Kuantan 188 sebagai simbolik 65 tahun negara mencapai kemerdekaan.

Terjunan secara bergilir-gilir itu dilakukan oleh 18 penerjun base, yang turut disertai beberapa penerjun dari Indonesia, Amerika Syarikat dan Singapura.

BACA KANDUNGAN EKSKLUSIF ASTRO AWANI SEMPENA SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN 2022, DI SINI

Acara yang bermula 9 malam itu berakhir pada 12 tengah malam dengan penerjun membawa bersama bendera Malaysia dan Pahang.

Lebih menarik, penerjun base tertua di dunia yang masih aktif, Jamaluddin Ismail, 67, yang berasal dari Mentakab juga melakukan terjunan.

Menara Kuantan 188, menara kedua tertinggi di Malaysia, merupakan mercu tanda baharu bandar raya Kuantan dan telah dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tahun lepas.