Isu guru duka lara yang belum dapat ditangani menyebabkan ada segelintir guru yang berasal dari Sabah dan Sarawak tidak berhasrat untuk pulang ke negeri kelahiran mereka.
Selain perlu wujud dasar dalam menangani isu ini dengan baik, Kementerian Pendidikan turut disaran mewujudkan insentif kepada mereka yang ingin pulang ke kampung halaman mereka.
Ahli Parlimen Batang Lupar, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata ada anak Sarawak yang enggan pulang ke kampung halaman disebabkan ingin menimba pengalaman di luar negeri itu.
“Saya juga mengetahui bahawa ada dikalangan anak-anak Sarawak ingin meluaskan pengalaman di tempat lain.
“Kalau boleh kita nak dapatkan semua guru-guru Sarawak lepas latihan perguruan balik ke Sarawak.
“Namun, guru-guru ini sendiri ada pilihan. Jadi ramai anak-anak Sarawak yang telah dilatih menjadi guru, dia nak merasakan pengalaman di tempat lain dan bukan balik ke Sarawak,” ujarnya ketika ditemui Astro AWANI di Parlimen hari ini.
BACA: Permohonan pertukaran 'guru duka lara' tidak dibekukan - Maszlee
Bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu menggesa agar cadangan yang dikemukakan bekas Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem untuk memastikan 90 peratus guru di Sarawak anak tempatan dapat dilaksanakan.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee mahu Kementerian Pendidikan memperhalusi proses pemindahan guru duka lara selain mewujudkan penyelesaian jangka masa panjang.
“Konsep ini harus diperhalusi di mana usaha menyelesaikan guru yang berpisah suami isteri ini mesti di ambil perhatian secara terperinci oleh Kementerian Pendidikan.
“Bagaimanapun dalam jangka masa panjang kementerian harus melihat untuk mengambil lebih banyak guru dari kalangan anak-anak daripada negeri-negeri tertentu,” tambahnya.
Ahli Parlimen Pensiangan, Arthur Joseph Kurup memberi saranan Institut Pendidikan Guru (IPG) dinaik taraf untuk jangka masa panjang.
Ahli Parlimen Pensiangan, Arthur Joseph Kurup memberi saranan Institut Pendidikan Guru (IPG) dinaik taraf untuk jangka masa panjang.
Ujarnya, cadangan Kementerian Pendidikan untuk menutup sembilan IPG termasuk di kawasannya di Keningau adalah tidak berasas selain melihat IPG perlu menjadi institusi pilihan utama bakal guru.
“Alasan yang diberikan menteri adalah bahawa IPG itu kapasitinya terlalu besar dan penyertaan atau minat daripada guru-guru tidak mencukupi.
“Jadi, kita perlu memberi insentif sebab ada juga guru-guru yang pergi ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) contohnya untuk mendapat ijazah dan memohon menjadi guru.
“Kita tidak sepatutnya menutup IPG itu sebaliknya kita menaik taraf supaya IPG itu boleh bersaing dengan institusi-institusi yang lain dan menjadi pilihan profesion perguruan,” jelasnya.
Pada sidang Dewan Rakyat hari ini, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata kelewatan pemberian kelulusan bagi permohonan pertukaran guru yang bertugas di Sabah dan Sarawak yang ingin kembali ke Semenanjung adalah kerana kekurangan permohonan guru untuk bertukar ke dua negeri tersebut.
Ujarnya, sehingga kini bilangan guru memohon untuk keluar dari Sabah dan Sarawak adalah 5,573 permohonan berbanding yang ingin masuk mengajar di Sarawak dan Sabah hanya 857 permohonan.