Lantang, berterus-terang dan bersemangat tinggi adalah antara istilah yang digunakan oleh rakan seperjuangan dalam menggambarkan diri serta budi lelaki ini, yang tanpa gentar berterusan menggali punca masalah persekitaran daripada hanya menangani gejala tanpa penelitian yang mendalam.
Sebagai pengasas dua pertubuhan alam sekitar yang ternama di negara ini iaitu Persatuan Perlindungan Alam Sekitar Malaysia (EPSM) dan Pusat Alam Sekitar, Teknologi dan Pembangunan (CETDEM), Gurmit sering bersuara memperjuangkan isu-isu penting, tanpa rasa bimbang atau mengaku kalah, meskipun adakalanya dibelit masalah.
"Saya tidak pernah berhasrat untuk menyinggung perasaan mana-mana pihak tetapi jika sikap saya mencetuskan rasa tidak senang, saya tidak boleh buat apa-apa.
"Isu mengenai impak perubahan iklim, tekanan sumber air, pengurusan tanah, pengurusan sumber yang tidak mampan dan kurangnya komitmen politik terus menjadi masalah.
"Banyak daripada isu berkenaan terus membarah kerana kita menyekat perkembangan penyelesaian yang berdaya maju dengan mengenepikannya, atas alasan ianya 'sensitif' ," katanya kepada Bernama dalam satu wawancara eksklusif baru-baru ini.
Menulis memoir
Pada usia 82 tahun, Gurmit Singh terlibat berdekad-dekad lamanya memperjuangkan isu alam sekitar di Malaysia, bukan sahaja berkarier sebagai jurutera elektrik tetapi juga penyelidik, pendokong hak asasi manusia, pencinta alam sekitar, malah sebelum perkataan 'menjadi hijau' dilaung-laungkan di zaman moden ini.
Namun dalam kesibukan itu, beliau sempat menulis autobiografinya bertajuk 'Memoirs of a Malaysian Eco-Activist', yang mengisahkan perjalanan hidupnya, dari zaman keanak-anakan yang banyak dihabiskan sebagai 'ulat buku', sehingga menjadi pendokong hak asasi manusia serta pejuang alam sekitar, yang diterbitkan pada awal April 2017.
Buku yang berdasarkan kata-katanya sendiri, menjejak kehidupannya di Penang (Pulau Pinang), dibesarkan sebagai anak kepada ibu bapa Punjabi sewaktu kependudukan Jepun di Malaya, sehingga kepada kebangkitannya sebagai pendokong hak asasi manusia dan alam sekitar yang terkenal.
Berkongsi kisah penulisan bukunya, Gurmit berkata, ia bermula sekitar tahun 2011 dan 2012 apabila beliau berasa adalah elok sekiranya menulis segala pengalamannya sebagai aktivis alam sekitar.
"Ketika itu saya berfikir, ada tak orang yang akan berminat untuk membaca buku saya? Saya tulis sedikit demi sedikit, kemudian ketepikan dan lupa langsung sehingga suatu hari saya berasa perlu teruskan buku itu.
"Saya siapkan buku itu sekitar tahun 2015," katanya.
Salah satu aspek menarik tentang Gurmit dalam memoirnya adalah gambar yang menunjukkan beliau memakai topeng gas sewaktu menunggang basikal dan ada kain rentang berwarna hitam putih dengan perkataan 'World Environment Day 5.6.79 EPSM,' yang dijadikan kulit bukunya.
Mengenang kembali gambar bersejarah itu, menurut Gurmit, beliau berbasikal sejauh kira-kira 20 kilometer dari Petaling Jaya, Selangor ke Taman Titiwangsa untuk mengetengahkan masalah pencemaran udara di bandar raya pada tahun 1979.
"Salah seorang daripada exco EPSM memandu kereta, dan putuskan untuk berlumba - saya mengayuh basikal dan memakai topeng gas yang saya pinjam daripada kawan saya yang bekerja dengan sebuah institut kesihatan awam.
"Pada masa itu, trafik teruk sangat yang buatkan saya pakai topeng gas bagi melindungi saya daripada udara yang tercemar. Saya menang dan kalahkan dia. Saya sampai lima minit lebih awal.
"Kemudian saya ambil gambar itu, yang amat penting buat saya dan orang-orang yang mengenali diri saya," katanya menambah, pemandu kereta itu sebenarnya seorang warga emas.
Dari jurutera kepada aktivis
Dilahirkan pada 3 November 1942 dan membesar di Georgetown, Pulau Pinang, Gurmit adalah seorang pemimpin pelajar terbilang pada tahun 1960an dan 1970an apabila beliau menyertai pengakap, juga sebagai ketua pengawas di Methodist Boys School (MBS) sewaktu di bangku sekolah menengah.
Beliau mengajar selama kira-kira setahun setengah sebelum menjadi pelatih juruterbang tentera udara selama enam bulan. Bagaimanapun, pengajar British tidak berpuas hati dengan koordinat Gurmit dan beliau dilarang untuk meneruskan latihannya.
Gurmit kemudiannya meneruskan pengajian di Universiti Malaya (UM) pada tahun 1965, dan mengambil bidang kejuruteraan elektrikal. Tamat pengajian, beliau bekerja dengan Institut Penyelidikan Getah (RRI) selama lima tahun sebelum meletak jawatan dan membuat keputusan untuk menjadi perunding bebas.
"Semasa bersekolah di MBS, saya aktif dalam pengakap dan semasa di universiti pada 1970an, saya memimpin persatuan pelajar kejuruteraan UM. Saya memperjuangkan hak pelajar di fakulti, kesatuan pelajar dan UM Graduates Society, yang kemudiannya dinamakan semula sebagai Selangor Graduates Society (SGS).
"Pada tahun 1973, seorang ahli persatuan (Selangor Graduates) yang baharu balik dari United Kingdom selepas menghadiri satu kursus, mencadangkan supaya kami melihat isu alam sekitar di Malaysia," katanya.
Buat Gurmit, isu berkenaan lebih merupakan 'pandangan Barat' dan beliau tidak berminat menyertai aktivisme alam sekitar kerana sudah ada beberapa pertubuhan seperti WWF-Malaysia dan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) untuk menangani isu hidupan liar dan pemuliharaan alam sekitar.
Bagaimanapun, pendiriannya berubah apabila mendapat tahu kerajaan Malaysia mengambil bahagian di Persidangan Bangsa-Banga Bersatu mengenai Alam Sekitar Manusia, yang lebih dikenali sebagai Persidangan Stockholm pada tahun 1972. Menterinya, Tan Sri Ghazali Shafie memutuskan untuk memperkenalkan undang-undang baharu mengenai perlindungan alam sekitar (Akta Kualiti Alam Sekeliling) di Malaysia.
"Ini mendorong kami untuk membentuk sebuah pertubuhan - EPSM bagi menangani isu-isu alam sekitar.
"Kami berharap EPSM akan bertindak sebagai sebuah kumpulan di peringkat kebangsaan untuk berkempen bagi kualiti alam sekitar serta pemerhati tindakan-tindakan kerajaan," katanya.
Suara lantang isu alam sekitar
Meskipun wajahnya tampak serius dan tegas, dan ada ketikanya sekali pandang agak menggerunkan, Gurmit yang berjambang putih tidak langsung menunjukkan beliau sedang melalui fasa penuaan.
Beliau juga mudah mesra dan suaranya menjadi begitu ceria dan bersemangat apabila bercakap tentang isu-isu alam sekitar.
Kelantangannya bersuara tentang isu-isu alam sekitar menjadi tajuk utama bagi banyak berita nasional seperti pencemaran udara di Lembah Klang, hak Orang Asli dalam pembinaan Empangan Bakun, Sarawak, penggondolan hutan di samping pencemaran sungai di Sungai Klang dan Sungai Juru, Pulau Pinang.
"Bukan mudah masa itu apabila kami bercakap tentang 'Alam Sekitar', yang dianggap sebagai perkataan kotor, terutama dalam kalangan birokrat kerana dilihat sebagai antipembangunan, malah pada satu ketika dipanggil antikebangsaan.
"Banyak kali saya sering dicap sebagai pengacau tapi itulah nasib mereka yang lantang bersuara yang membuatkan ada orang berasa tidak senang.
"Tentunya saya perlu buat penyelidikan dan membaca sebelum bercakap atau menulis. Apabila saya tidak pasti tentang fakta atau isu, saya tidak akan membuat sebarang ulasan," katanya.
Malah pencinta alam sekitar ini masih ingat sewaktu angkatan pemuda sebuah parti politik tempatan datang ke rumahnya untuk memprotes.
"Saya juga sebut dalam buku saya yang mereka datang membuat demonstrasi terhadap saya dan EPSM di hadapan rumah saya di Petaling Jaya pada suatu pagi Ahad, mengenai kempen kami menentang projek Empangan Bakun, tetapi pada masa itu saya tidak ada di rumah dan berada di tempat yang lain.
"Saya terima banyak panggilan telefon daripada pihak media bertanyakan tentang demonstrasi itu dan tentang khabar-khabar angin saya ditahan, tetapi itu tidak berlaku.
"Malah ada yang menelefon ibu bapa saya di Pulau Pinang dan memberitahu mereka saya ditangkap. Ibu bapa saya panik dan menelefon saya. Saya yakinkan ibu bapa saya: 'Kan saya jawab telefon, sudah tentunya saya tidak ditangkap!" katanya sambil ketawa.
Pahit getir cabaran
Apabila ditanya bagaimana beliau masih terus bersemangat tinggi dengan perjuangannya di sebalik sering dikecam, beliau berkata:
"Sebagai aktivis alam sekitar, banyak jatuh bangun saya dalam perjuangan ini. Saya tetap bangga dengan peranan saya membentuk EPSM dan CETDEM sehingga menjadi kumpulan alam sekitar yang kuat dan bersuara lantang, meskipun masih banyak yang perlu dibuat.
"Saya juga gembira dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai orang untuk tampil bersuara mengenai dasar Malaysia terhadap tenaga, perubahan iklim, pencemaran dan banyak lagi isu, dengan menjadi ahli pelbagai jawatankuasa kerajaan, meskipun kadangkala usaha terbaik saya terencat akibat kerenah birokrasi dan dasar," katanya.
Pada tahun 1993, Gurmit menerima Anugerah Langkawi Kelestarian Alam Sekitar kerana aktivisme serta dedikasinya dalam bidang persekitaran. Pada tahun 2003, beliau menerima Ijazah Sarjana Kehormat dari Universiti Pertanian Malaysia (kini dikenali sebagai Universiti Putra Malaysia).
Pada tahun 2008, beliau menerima Anugerah Pengguna Mampan dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, dan pada tahun 2018, beliau adalah salah seorang daripada tujuh orang penerima Anugerah Merdeka dalam kategori 'Alam Sekitar' sebagai penghargaan kepada sumbangannya dalam bidang berkenaan.
Anugerah Merdeka antaranya bertujuan menggalakkan kepimpinan pemikir dan inovasi serta menyemai budaya kecemerlangan, dengan demikian dapat meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai Pemain Global Abad ke-21 dalam semua sektor utama dari sains dan teknologi kepada bidang seni.
Harapan untuk Malaysia
Pada masa ini, Gurmit tinggal bersama isterinya, Tan Siew Luang, peminat pertanian organik, di kediaman mereka yang lestari alam sekitar di SS2, Petaling Jaya, yang juga merupakan pejabat CETDEM.
Apabila ditanya sama ada keadaan sudah berubah sejak beliau mula-mula mendokongi isu alam sekitar di Malaysia, Gurmit berkata:
"Hentikan rasuah - itu perkara utama. Kenapa orang masih mencemari bumi ini dan memotong pokok atas nama pembangunan tanpa mematuhi peraturan yang ditetapkan adalah kerana rasuah!"
Mengenai harapan beliau untuk masa depan, Gurmit berharap rakyat Malaysia akan konsisten menjaga alam sekitar dan memastikan mereka yang bertanggungjawab terhadap isu berkenaan dipertanggungjawabkan.
"Rakyat Malaysia perlu lebih bertegas tentang hak mereka, yang perlu digunakan secara positif. Anda perlu memastikan pihak yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar melaksanakan tugas mereka dan menangani isu berkenaan secara serius.
"Amat sukar menukar sistem nilai orang. Sekurang-kurangnya apa yang boleh dibuat, atau sekurang-kurangnya apa yang saya cuba buat ialah menukar dahulu diri saya. Jadi, saya cuba hidup dengan jejak ekologi sekecil mungkin," katanya. - BERNAMA