JOHOR BAHRU: Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini menafikan beliau pernah memohon pertolongan Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung kes rasuah yang sedang dihadapinya.

Dalam perkongsian terbaharu di Facebook, Pengerusi Barisan Nasional itu berkata, tidak pernah sekalipun beliau meminta Dr Mahathir berbuat begitu.

Ahmad Zahid, yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, waktu perjumpaan yang dimaksudkan Dr Mahathir dalam laporan media sebelum ini adalah bersama-sama dengan ketua-ketua parti politik lain untuk menyokong pembentukan kerajaan perpaduan.

“Saya dijemput bersama-sama dengan Presiden-presiden parti oleh Tun M untuk menyokongnya bagi membentuk kerajaan perpaduan.  Mana mungkin saya minta digugurkan tuduhan di hadapan ramai. Saya tidak pernah sekalipun meminta Tun M untuk berbuat demikian.

“Mana mungkin saya melobi untuk digugurkan tuduhan sebelum Tun M menjadi PM7 (Perdana Menteri ke-7), kerana ketika itu saya adalah TPM (Timbalan Perdana Menteri) dan tiada sebarang siasatan rasuah, jauh sekali dikenakan pertuduhan,” katanya lagi.


Susulan kenyataan Dr Mahathir itu, Ahmad Zahid berkata beliau telah mengarahkan peguamnya untuk mengeluarkan surat tuntutan (letter of demand) supaya Dr Mahathir membuat permohonan maaf.

Dalam satu sidang media awal hari ini, Dr Mahathir mendakwa Ahmad Zahid pernah datang berjumpa dengannya, untuk ‘berbaik-baik’.

Kata Dr Mahathir, dalam pertemuan yang berlaku sebelum beliau menjadi Perdana Menteri kali kedua, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu bertandang ke rumahnya bersama beberapa orang lain.

“Pada masa itu, ada kemungkinan saya jadi Perdana Menteri, sebab itu dia ingin baik dengan saya. Tapi saya dah tahu, masalah Zahid ialah dia ada kemungkinan akan dimasukkan dalam tahanan… masuk penjara kerana perbuatan curangnya, jenayah dilakukannya,” kata Dr Mahathir lagi.